Pembangunan di kawasan hutan tadahan air tidak pernah berlaku – KM

SUNGAI BAKAP – Kerajaan Negeri tidak pernah meluluskan projek pembangunan di hutan yang menjadi kawasan tadahan air, sebagaimana dituduh pemimpin tertentu Barisan Nasional (BN).

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, paras air di Empangan Teluk Bahang kira-kira 67 peratus dan berada pada aras ‘sihat’, begitu juga air dekat Empangan Air Itam hampir 99 peratus ketika ini.

“Pembangunan di kawasan hutan, khususnya di kawasan tadahan air memang tidak pernah berlaku.

“Sekiranya ada pembangunan di kawasan bukit, empangan air di Pulau Pinang akan menjadi kering-kontang macam di negeri-negeri lain, tapi ia kini berada dalam paras ‘sihat’.

“Ini sekaligus menolak tuduhan dan fitnah-fitnah jahat pihak tertentu, khususnya Barisan Nasional (BN) dan (pertubuhan bukan kerajaan) NGO-NGO pro Barisan Nasional (BN) yang mengatakan kita (Kerajaan Negeri) menjalankan pembangunan (di kawasan) hutan macam di Cameron Highlands,” katanya ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Timbalan Ketua Menteri II di sini 29 Oktober lalu.

Tambahnya, paras air di Empangan Mengkuang kini terpaksa dikurangkan untuk tujuan projek pembesaran empangan tersebut ketika ini. Kecuali Pulau Pinang, Guan Eng memberitahu bahawa catuan air dilaksanakan di negeri-negeri tertentu sungguhpun ketika ini adalah musim hujan.

“Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang tidak melaksanakan catuan air pada fenomena Super El Nino lalu.

“Tiada catuan di Pulau Pinang kerana ada tiga sebab utama, pertama, kita (Kerajaan Negeri) membuat perancangan projek air baik dari segi pam (air mentah dari Sungai Muda dalam sempadan negeri) atau di kawasan empangan.

“Kedua, kita (Kerajaan Negeri) wartakan (hutan yang menjadi) kawasan tadahan air supaya ia tidak dicerobohi atau tercemar (akibat projek pembangunan).

“Ketiga, adalah kita (Kerajaan Negeri) melaksanakan dasar untuk mengurangkan pembaziran air,” jelas beliau.