Pembangunan Pulau Tikus, ADUN gesa ketat syarat

PULAU TIKUS – Pembangunan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tikus di sini yang menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk setempat memperoleh perhatian serius daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan terbabit, Yap Soo Huey baru-baru ini.

Soo Huey pada satu sidang media di hadapan Pasar Pulau Tikus menggesa pihak yang bertanggungjawab supaya menghentikan atau mengetatkan syarat-syarat pembangunan di DUN berkaitan.

Menurutnya, kegagalan mengawal kelulusan pembangunan telah mendorong ke arah pembangunan melampau di Pulau Tikus.

“Perubahan guna tanah dari kawasan kediaman ke kawasan komersil atau perniagaan telah menjejaskan struktur sosial di kawasan Pulau Tikus khasnya penduduk tempatan.

“Ini termasuk kesesakan jalanraya yang semakin meruncing, persekitaran yang agak kotor serta sentiasa berdebu dan paling membimbangkan adalah faktor keselamatan kerana projek-projek pembinaan yang terlalu pesat sehingga meningkatkan risiko kemalangan akibat ditimpa sisa-sisa binaan dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, pemajupemaju di kawasan sekitar Pulau Tikus juga gagal menunaikan janji kepada penduduk sebagaimana diomongkan sebelum bermulanya projek pembangunan.

“Contohnya, pembinaan bangunan tinggi di sini pada asalnya mereka (pemaju) ada menjanjikan untuk membina tempat letak kereta khas bagi menampung jumlah petak parkir yang berkurangan akibat projek, namun, hasilnya tempat (yang) dijanjikan itu pula ditimbuni bahan-bahan binaan.

“Juga tahun lalu, insiden ‘hujan konkrit’ yang telah menyebabkan beberapa buah kenderaan rosak teruk akibat dihempap bahan binaan yang jatuh.

“Malah, juga terdapat kes kematian melibatkan pekerja binaan yang jatuh dan mati di sini. Puncanya amat jelas kerana pembinaan di sini sangat hampir dengan kawasan kediaman sedia ada,” jelasnya.

Dalam pada itu, Soo Huey turut mencadangkan agar pihak berwajib dapat menyenaraihitamkan pemaju-pemaju yang gagal mematuhi aspek keselamatan serta tidak menepati janji sehingga mengundang bahaya kepada penduduk setempat.

“Perkara ini bukan sahaja penting kepada penduduk, bahkan orang ramai yang sering datang ke Pulau Tikus yang merupakan kawasan tumpuan pelancongan, selain membeli belah serta melakukan aktiviti keagamaan,” ujar beliau.

Serentak dengan itu, Soo Huey turut mendesak agar Pulau Tikus dapat diwartakan sebagai kawasan larangan bagi pembangunan bangunan melebihi 10 tingkat pada masa hadapan.

} else {