GEORGE TOWN – Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang sedang dilaksanakan kini berjalan mengikut jadual dan dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun 2028.
Sehingga kini, pakej pertama yang melibatkan pembinaan bangunan sokongan, pemindahan utiliti, penyediaan infrastruktur serta Remote Digital Virtual Tower (RDVT) telah mencapai kemajuan 100 peratus dan menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada 1 Julai lalu.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, pakej kedua yang melibatkan kerja-kerja pemajuan di kawasan operasi udara (airside), termasuk pembesaran apron pesawat, pembinaan laluan pesawat (taxilane), sistem saliran dan pencahayaan lapangan terbang, kini telah mencapai kira-kira 70 peratus kemajuan.
Bagi pakej ketiga yang merangkumi kerja-kerja pembesaran bangunan terminal utama pula, beliau berkata, reka bentuk projek telah dimuktamadkan manakala fasa perolehan telah dibuka pada 25 Jun lalu.
“Projek pembesaran LTAPP merupakan antara inisiatif strategik Kerajaan Persekutuan yang akan meningkatkan kapasiti lapangan terbang daripada 6.5 juta kepada 12 juta penumpang setahun.
“Peningkatan kapasiti ini amat penting bagi memenuhi pertumbuhan penumpang, memperkukuh hubungan udara domestik dan antarabangsa serta menyokong pembangunan ekonomi negeri,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga di Bangunan Baharu Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Wilayah Utara Semenanjung Malaysia, dekat Bayan Lepas di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zairil berkata, Kerajaan Negeri percaya projek Kerajaan Persekutuan itu akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan, perdagangan, pelaburan dan logistik, sekali gus mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab ekonomi utama di Wilayah Utara Semenanjung Malaysia.
Terdahulu, Zairil telah diberikan taklimat ringkas oleh Pengarah Projek merangkap Pegawai Penguasa Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Ir. Dr. Terence Leong Hian Yoong, yang turut dihadiri beberapa wakil jabatan teknikal negeri berkaitan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN