GEORGE TOWN – Kerja-kerja pembinaan Stesen Bandar Sri Pinang dan Stesen Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) bagi Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara kini sedang rancak berjalan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa kerja-kerja pembinaan di kedua-dua tapak berkenaan mencatatkan kemajuan paling ketara sejak majlis pecah tanah di Bandar Sri Pinang pada Januari tahun lepas.
Beliau menyatakan bahawa perkembangan positif tersebut membolehkan penduduk Pulau Pinang melihat gambaran sebenar reka bentuk stesen-stesen LRT Laluan Mutiara dalam tempoh terdekat.
Tambah beliau, reka bentuk stesen berkenaan kini sedang menunggu kelulusan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang dijangka diperoleh tidak lama lagi.




“Saya dimaklumkan bahawa tiang serta struktur untuk Stesen LTAPP kini sedang dalam pembinaan dengan lima tiang jejambat telah siap dibentuk.
“Bagi Stesen Bandar Sri Pinang pula, kemajuannya lebih ke hadapan apabila kerja-kerja asas serta pembinaan kolum stesen telah siap dilaksanakan, dan projek kini bakal memasuki fasa pembinaan struktur utama stesen.
“Setelah kira-kira 18 bulan berlalu, kemajuan yang dicapai amat memberangsangkan dengan enam tiang jejambat berjaya disiapkan bagi membolehkan pelaksanaan fasa pembinaan seterusnya diteruskan,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke kedua-dua tapak projek berkenaan di sini sebentar tadi.
Turut hadir, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Pengarah Projek MRT Mutiara, Azmi Abd Rahman; Penasihat SRS Consortium, Datuk Seri Dr. Ooi Eng Hock serta Pengarah Projek SRS Consortium bagi projek LRT Laluan Mutiara, Adil Putra Ahmad.
Terdahulu, Kon Yeow turut diberikan taklimat oleh Kontraktor Utama Kerja Awam 1 (CMC1) projek berkenaan, SRS Consortium.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa komponen crosshead dijangka tiba di tapak pembinaan Stesen Bandar Sri Pinang dalam masa terdekat.
Menyentuh mengenai kepentingan stesen tersebut, beliau berkata bahawa Stesen Bandar Sri Pinang berada di lokasi strategik, dan dijangka menjadi hab tumpuan berimpak tinggi sepanjang LRT Laluan Mutiara.
“Lokasinya terletak di kawasan perbandaran pesisir pantai yang padat dengan pembangunan kediaman bertingkat tinggi serta berhampiran Persiaran Karpal Singh yang menjadi zon gaya hidup, komersial dan makanan serta minuman (F&B).
“Stesen ini juga akan dilengkapi akses keluar masuk di kedua-dua belah Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu bagi menghubungkan kawasan kediaman dan pusat aktiviti ekonomi di sekitarnya,” ujarnya.






Dalam perkembangan sama, Kon Yeow menyatakan bahawa Stesen LTAPP pula bakal memainkan peranan penting sebagai pintu masuk antarabangsa ke Pulau Pinang apabila siap kelak.
Menurut beliau, stesen tersebut akan dilengkapi jambatan penghubung ke terminal baharu lapangan terbang dan menyediakan sambungan terus ke beberapa destinasi utama termasuk Zon Perindustrian Bebas (FIZ) Bayan Lepas, Komtar serta Penang Sentral di Butterworth.
“Peranan stesen ini amat penting dalam menyokong sektor pelancongan, perjalanan perniagaan, pelaburan serta hubungan global negeri ini,” ulasnya lanjut.
Pada masa sama, Kon Yeow mengingatkan orang ramai supaya bersedia menghadapi sedikit kesulitan lalu lintas apabila projek LRT Laluan Mutiara memasuki fasa pembinaan yang lebih aktif pada separuh kedua tahun ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, ketika ini kerja-kerja pembinaan tiang jejambat sedang giat dijalankan di 14 lokasi sepanjang jajaran projek termasuk di Permatang Damar Laut, Gelugor, SPICE, Jelutong Timur, Macallum dan kawasan bersebelahan Cecil Residensi.
“Kita menjangkakan kerja-kerja pembinaan akan menjadi lebih intensif.
“Pelaksanaan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) di kawasan FIZ Bayan Lepas serta penutupan lorong secara berperingkat bagi kerja pembinaan sepanjang jajaran 23.7 kilometer dari Komtar hingga ke Pulau Silikon adalah petanda jelas fasa aktif ini.
“Daripada tiga kawasan kritikal yang dikenal pasti, TMP pertama telah mula dilaksanakan di persimpangan Jalan Tengah dan Jalan Sultan Azlan Shah pada awal Mei lalu, manakala dua lagi kawasan kritikal dijadualkan dilaksanakan pada separuh kedua tahun ini,” jelasnya.
Sehubungan itu, Kon Yeow berharap agar rakyat terus memberikan sokongan terhadap projek infrastruktur strategik yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan itu demi memastikan masa depan Pulau Pinang yang lebih mampan, berdaya saing dan mempunyai sistem pengangkutan awam yang lebih efisien.
“Kerajaan Negeri akan terus memantau pelaksanaan projek ini bagi memastikan pembangunan infrastruktur pengangkutan awam yang strategik tersebut dapat direalisasikan mengikut perancangan demi manfaat rakyat dan masa depan Pulau Pinang,” jelasnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN & ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : DARWINA MOHD. DAUD & SITI NURATIKAH RAHMAT