Pembukaan Fasa 4A Batu Kawan tambah kerancakan pembangunan PKS Pulau Pinan

BATU KAWAN – Pulau Pinang merupakan satusatunya negeri dalam negara yang diiktiraf oleh SME Malaysia kerana berjaya mempromosikan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kata Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar.

Menurut beliau, meskipun Pulau Pinang kini merupakan pemain industri PKS terkemuka di Malaysia, namun pelaburan langsung juga penting dalam memastikan ia terus berkembang.

“Pembangunan PKS adalah sama penting dengan pelaburan langsung asing (FDI) kerana ia memberikan perkhidmatan sampingan serta sokongan bukan sahaja terhadap FDI, malah juga MNC (perbadanan multinasional) lain.

“Antaranya, Boston Scientific, Broadcom Limited, Sunningdale Tech Limited, Bose dan Malaysian Automotive Lighting Sdn. Bhd. yang merupakan antara pelabur utama yang bertapak di Taman Perindustrian Batu Kawan ini,” katanya pada Majlis Pembukaan Taman Perindustrian Kecil dan Sederhana Fasa 4A di Galeri PDC Batu Kawan di sini barubaru ini.

Menurut Rosli, dengan pembukaan Fasa 4A, ianya akan menambah kerancakan pembangunan PKS di negeri ini.

“Di Batu Kawan, kini banyak pelaburan berskala besar seperti RM250 juta yang dilaburkan oleh Design Village Outlet Mall, pembinaan Kolej Universiti KDU dan pelaburan RM600 juta oleh gedung perkakasan rumah ternama, IKEA yang dijangka dibuka tahun hadapan.

“Sebab itu, PDC mengambil pendekatan tiga serampang untuk pembangunan PKS iaitu mewujudkan Pusat Penasihat Pasaran, Sumber dan Latihan (SMART), membangunkan Taman PKS serta menyediakan akses perkhidmatan dan kemudahan bergantung kepada keperluan,” jelasnya.

Difahamkan, fasa terbaharu berkaitan bakal mengambil masa selama 18 bulan untuk disiapkan iaitu dari 16 Oktober 2017 hingga 15 Januari 2019 melibatkan keperluan SME.