Pemutihan burung walit di bangunan warisan

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Bagi mengekalkan nilai estetika bangunan-bangunan di Tapak Warisan Dunia George Town supaya terus terpelihara, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dalam usahanya menjalankan tindakan pemutihan dan penguatkuasaan aktiviti perusahaan burung walit di sini baru-baru ini.

Nada tersebut disuarakan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow ketika mengumumkan perkara tersebut pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Kon Yeow berkata, tindakan pemutihan dan penguatkuasaan tersebut adalah selaras dengan Garis Panduan Burung Walit (1GP) yang diluluskan pada Mesyuarat Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) September 2010.

“Kerajaan Negeri memutuskan bahawa aktiviti perusahaan burung walit tidak lagi dibenarkan beroperasi di kawasan Tapak Warisan Dunia.

“Semua pengusaha dikehendaki memberhentikan operasi perusahaan burung walit, mengeluarkan peralatan berkaitan, merobohkan binaan tambahan dan memindahkan operasi dalam tempoh tiga tahun iaitu bermula pada 1 Januari 2011 dan berakhir pada 31 Disember 2013,” tegasnya di sini.

Hadir sama, Yang di-Pertua Majlis, Datuk Ar. Patahiyah Ismail, Setiausaha Perbandaran, Ar. Ang Aing Thye, Pengarah Kesihatan MPPP, R. Judy Shoba dan Pengarah Warisan MPPP, Noorhanis Noordin.

Mulai tahun 2011 , pemeriksaan di tapak telah dijalankan secara bersepadu oleh pihak MPPP, Jabatan Vaterinar Negeri dan George Town World Heritage Incorporated (WHI) bagi menyemak status premis burung walit.

“Sebanyak 128 premis burung walit telah dikenalpasti dan setakat 31 Disember 2013, kesemua 128 premis telah berhenti operasi. Walau bagaimanapun, tindakan penguatkuasaan berterusan masih dilakukan.

“Kita tak mahu bangunanbangunan tersebut terjejas nilai warisan, budaya dan seninya. Yang paling penting, adalah untuk menjaga supaya status Tapak Warisan Dunia tidak ditarik semula oleh UNESCO,” jelas beliau.