Dr. Fadhlullah Jamil Tokoh Maulidur Rasul 1435H P. Pinang

PROF. Madya Dr. Fadhlullah Jamil (kiri sekali) berjabat tangan dengan Ahmad Sani Araby Abdul Halim Araby sambil diperhatikan Darah Ibrahim (tengah) pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1435 Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Prof. Madya Dr. Fadhlullah Jamil, 69, dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul 1435 Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang di sini baru-baru ini.

Pensyarah sambilan Universiti Sains Malaysia (USM) itu menerima wang tunai berjumlah RM5,000, plak, trofi beserta sijil penghargaan daripada Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

Fadhlullah yang juga Ketua Kariah Masjid Jamek Sungai Gelugor semasa ditemui kemudian berkata, beliau begitu terharu dan melahirkan rasa syukur kehadrat Ilahi atas pengiktirafan tersebut.

“Saya lakukan segalanya dalam penyampaian ilmu ini adalah kerana Allah, dan usaha saya menulis juga tidak akan terhenti di sini. Saya akan teruskan usaha penyebaran ilmu ini sampai bila-bila,” ujarnya pada majlis sambutan Maulidur Rasul 1435 Hijrah itu.

Menurut Fadhlullah, beliau sekarang sedang menyiapkan karya mengenai Bahayanya Syiah dan Islam di Algeria.

Katanya lagi, pengiktirafan pada kali ini cukup bermakna selepas anugerah kali pertama seperti itu pernah disandang pada Julai 2008, iaitu Anugerah Al-Amin melalui satu penulisan juga.

“Saya juga menganggap penulisan saya ini adalah satu cabang jihad dalam mendidik masyarakat dan anak muda demi masa depan agama Islam,” jelasnya.

Pengasas Pondok Penanti, Allahyarham Mohd. Redzuan Abdul Wahid yang baru meninggal dunia pada 19 Mei tahun lepas turut dipilih menerima Anugerah Khas Pendidikan.

Manakala, Pengerusi Kumpulan Al- Araby, Ahmad Sani Araby Abdul Halim Araby pula menerima Anugerah Khas Anak Muda.

Ahmad Sani Araby sebelum ini pernah terperangkap dalam satu pertempuran di Gaza selama lapan hari, selain, menyertai misi kemanusiaan di dua wilayah bergolak lain, iaitu di Syria dan Myanmar.

Sementara itu, Pensyarah Sains Kaji Hayat dan Pakar bidang mikrobiologi dari USM, Prof. Dr. Darah Ibrahim dipilih menerima Anugerah Khas Inovasi.

Abdul Rahman dalam satu ucapannya mengingatkan umat Islam di negeri ini agar kekal istiqamah dalam menjalankan kerja-kerja dakwah yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W serta menjadikan keraian Maulidur Rasul ini sebagai platform mengingati perjuangan dan kepertibadian baginda.

Qudwah (ikutan) Al-Rasul ini merangkumi pelbagai aspek dalam kehidupan manusia di dunia ini dan wajar diberi perhatian kerana hari ini manusia lebih dilihat lalai bersama dengan perkara duniawi dan materialistik,” ujar beliau.

Tema sambutan kali ini adalah Qudwah Al-Rasul Mengukuh Ukhuwah, Memartabat Ummah.