Penang Durian Valley@Relau bakal jadi hab agropelancongan bertaraf nasional

Admin
img 20260502 wa0060

PAYA TERUBONG – Pulau Pinang terus memperkukuh sektor agropelancongan apabila projek Penang Durian Valley@Relau (PDV) kini giat dilaksanakan sebagai hab bersepadu berasaskan durian yang dijangka siap pada April 2027.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa projek berkaitan merupakan penjenamaan semula Pusat Pertanian Relau kepada sebuah destinasi ekopelancongan yang lebih komprehensif, merangkumi pembangunan fizikal seperti bangunan baharu, infrastruktur rekreasi, kawasan hijau serta kemudahan tempat letak kereta.

“Apabila siap kelak, PDV akan berfungsi sebagai hab penyelidikan dan pembangunan (R&D), pendidikan serta pusat pengumpulan data bagi pelbagai varian durian di Malaysia.

“Inisiatif ini sekali gus meletakkan Pulau Pinang sebagai negeri maju dalam bidang pertanian berteraskan penyelidikan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan di sini sebentar tadi.

img 20260502 wa0077img 20260502 wa0078img 20260502 wa0076

Turut hadir, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai; Pengarah, Project Delivery, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCER), Muhammad Fazilullah Abdul Aziz; Pegawai Daerah Timur Laut, Ismasuhaimi Shariff; Pengarah Pertanian Negeri Pulau Pinang, Mohd. Muhaimin Ibrahim; Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Kamarul Azlan Mustaffa; wakil Bahagian Pelesanan, Bangunan dan Landskap, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan lain-lain jemputan.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa kawasan keseluruhan projek meliputi 61.4 ekar, namun fasa pembangunan semasa melibatkan 22.3 ekar dengan kemajuan projek telah mencapai 24 peratus setakat 30 April 2026.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa PDV turut berpotensi menjadi pusat pengumpulan pelbagai varieti durian tempatan, termasuk cadangan untuk menanam sehingga 300 jenis durian dari seluruh negara pada fasa akan datang.

“Ketika ini, Pulau Pinang mempunyai kira-kira 40 jenis durian yang menjadi pilihan peminat tempatan dan pelancong luar, termasuk pelawat antarabangsa yang datang khusus untuk menikmati durian.

“Dengan konsep ‘experiential tourism’, kita berharap pusat ini mampu menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung, di samping membuka peluang ekonomi kepada pengusaha dusun dan pemain industri berkaitan,” ujarnya.

Tambah beliau, projek tersebut juga akan memanfaatkan kepakaran teknologi negeri ini selaras dengan reputasi Pulau Pinang sebagai ‘Silicon Valley’ bagi memperkasa sektor pertanian moden.

Dalam pada itu, Kon Yeow merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan yang disalurkan melalui NCER bagi menjayakan projek berkenaan.

“Konsep agropelancongan yang digabungkan dengan elemen R&D menjadikan projek ini unik dan berdaya saing, sekali gus menarik sokongan kementerian berkaitan untuk diluluskan,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri turut menganjurkan pertandingan idea reka bentuk bagi pembangunan projek tersebut yang sebahagiannya telah diterapkan dalam pelaksanaan PDV.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS