GEORGE TOWN – Kelab Liga Super, Penang FC menyasarkan untuk sekurang-kurangnya berada dalam kelompok lima terbaik dalam saingan Liga Super musim ini.
Sasaran itu berdasarkan prestasi memberangsangkan yang ditampilkan kelab berkenaan sepanjang perlawanan persahabatan sebagai persiapan pramusim sebelum sepak mula Liga Super pada Jumaat ini.
Pengendalinya, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata, keserasian antara pemain lama dan baharu sudah mula terbentuk menerusi siri perlawanan persahabatan di Kelantan, Thailand dan Indonesia sebelum ini.
“Sepanjang lapan minggu persiapan dilakukan, kita melihat ada keserasian antara barisan pemain baharu dan muka lama Penang FC yang disesuaikan dengan taktikal pasukan menerusi enam perlawanan persahabatan yang kita harungi baru-baru ini.
“Jadi, saya harap keserasian yang dibentuk ini juga dapat diterjemahkan menerusi kemenangan dalam perlawanan sulung kita pada Ahad ini menentang DPMM FC di Stadium Bandaraya nanti.
“Selain itu, kita sudah menyenaraikan 30 pemain termasuk lapan pemain import bagi menghadapi saingan musim ini dan saya menjangkakan persaingan positif dalam merebut posisi dalam skuad ini kerana itu merupakan perkembangan yang baik kepada pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pengenalan Jersi Penang FC Musim 2025/2026 di sebuah kafe di Universiti Sains Malaysia (USM), Gelugor, di sini hari ini.
Turut hadir Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew Giam Eam dan Konsul Jeneral Kerajaan Thailand, Psusist Wongsurat.
Mengulas lanjut, Wan Rohaimi memberitahu bahawa kehadiran pemain berpengalaman tempatan seperti Fazly Mazlan dan Shahrel Fikri juga diharap dapat membantu pasukan mencatat kemenangan dalam perlawanan pertama nanti.
“Kita sudah ada gambaran untuk kesebelasan utama bagi perlawanan pertama nanti dan ia tidak banyak berubah daripada perlawanan persahabatan terakhir kita di Indonesia menentang Persebaya Surabaya tempoh hari.
“Namun, kehadiran pemain ke-12 kita, iaitu penyokong Penang FC, amat diharapkan untuk memberikan semangat dalam memburu kejayaan sulung di tempat sendiri nanti,” katanya.
Sementara itu, Zi Sen yang juga Ahli Lembaga Pengarah Penang FC dalam ucapannya memuji rekaan jersi Penang FC bagi musim ini yang dilihat membawa identiti serta rasa kebanggaan terhadap Pulau Pinang.
“Untuk musim ini, reka bentuk jersi Penang FC diinspirasikan daripada keunikan warisan Peranakan George Town yang begitu sinonim dengan sejarah, seni bina, seni dan budaya Pulau Pinang.
“Malah, setiap elemen yang diterapkan dalam rekaan ini mempunyai nilai dan makna tersendiri, baik daripada corak dan motif kepada bentuk serta sentuhan warna, semuanya mengambil inspirasi daripada keindahan warisan Peranakan yang telah menjadi sebahagian daripada identiti Pulau Pinang sejak sekian lama.
“Saya berharap setiap kali seseorang memakai jersi ini, mereka bukan sahaja melihat sebuah rekaan yang cantik, tetapi turut dapat merasai cerita, sejarah dan jiwa Pulau Pinang yang terkandung di sebalik rekaan tersebut,” katanya.
Teks & Gambar: MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN