SUKMA 2026: Skuad renang Pulau Pinang raih tiga perak, tiga rekod peribadi diperbaiki

Admin
img 6694 ELSON Lee Chun Hong yang memenangi tempat kedua bagi acara acara 400 meter (m) medley individu lelaki, sekali gus melengkapkan kutipan tiga pingat perak buat Pulau Pinang di Pusat Akuatik Darul Ehsan, Shah Alam, setakat petang tadi.

SHAH ALAM, SELANGOR – Skuad akuatik Pulau Pinang mempamerkan aksi membanggakan apabila meraih tiga pingat perak menerusi acara renang setakat petang tadi dalam saingan Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Pusat Akuatik Darul Ehsan.

img 6698
SAMUEL Lai Chong Weng

Perak pertama disumbangkan Samuel Lai Chong Weng dalam acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki dengan catatan masa 1:52.34 minit, di belakang perenang Wilayah Persekutuan, Muhammad Dhuha Zulfikry yang mencatatkan masa 1:51.91 minit.

Rakan sepasukan, Loo Cheng Feng pula menduduki tempat kelima dalam acara berkenaan.

img 6699
AW Yuet Ting
img 6695
ELSON Lee Chun Hong

Aw Yuet Ting kemudian menambah koleksi perak menerusi acara 400m medley individu wanita dengan catatan masa 4:59.39 minit, sebelum Elson Lee Chun Hong melengkapkan kutipan tiga perak negeri dalam acara 400m medley individu lelaki dengan catatan masa 4:36.60 minit.

img 6674
ALBERT Yeap Jin Teik

Ketua Jurulatih Skuad Akuatik Negeri, Albert Yeap Jin Teik berkata, beliau berpuas hati dengan peningkatan prestasi anak buahnya yang berjaya memperbaharui rekod peribadi masing-masing.

“Samuel mencatatkan peningkatan tiga saat, Yuet Ting memotong masa sebanyak lima saat, manakala Elson turut memperbaiki rekod peribadinya sebanyak tiga saat,” katanya ketika dihubungi pada 19 Ogos 2026.

Turut bersama-sama Jin Teik ialah Pengurus Skuad Akuatik Negeri, Dave Tan dan jurulatih,Tasha Jane Taher Ali.

Mengulas lanjut, Jin Teik berkata, tanpa sasaran pingat emas pada hari tersebut, pencapaian tiga perak itu merupakan satu keputusan yang sangat positif.

Sehubungan itu, beliau optimis skuad negeri masih mempunyai masa untuk memburu sasaran tiga pingat emas yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) sempena temasya sukan dwitahunan nasional berkenaan.

img 6700
NUR Aryna Balqis Affendi dan Nur Ikmas Darwisyah Ikeram

Dalam pada itu, acara terjun turut menyaksikan persaingan sengit apabila gandingan Nur Aryna Balqis Affendi dan Nur Ikmas Darwisyah Ikeram menamatkan saingan akhir terbuka 10m papan anjal seirama wanita di tempat kelima dengan 203.85 mata.

img 6701
AFRAZ Miqael Norazlan

Bagi acara akhir terbuka 3m lelaki pula, Afraz Miqael Norazlan menduduki tempat ke-10 dengan catatan 269.45 mata.

33d78180 16dc 4696 bbdf 8be143ab0d76
MOHD. Azheem Bahari

Mengulas persembahan anak buahnya setakat petang tadi, Jurulatih Terjun Negeri, Mohd. Azheem Bahari berkata, gandingan seirama wanita perlu meningkatkan tahap kesukaran (Degree of Difficulty – DD) bagi memperkukuh persembahan pada masa akan datang.

Beliau turut memuji semangat Afraz Miqael yang baru pulih daripada kecederaan, namun mampu memberikan saingan sengit kepada penerjun lebih berpengalaman serta calon ke Sukan Asia.

“Terjunan baik.

“Acara platform seirama perempuan mendapat tempat kelima dan faktor tahap kesukaran (DD) perlu dipertingkat bagi memantapkan lagi gandingan ini pada masa akan datang.

“Afraz Miqael bertanding dengan baik dan berdepan penerjun yang lebih berpengalaman, termasuk pemenang pingat emas serta calon ke Sukan Asia.

“Beliau juga baru pulih daripada kecederaan,” katanya menerusi panggilan telefon.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: MIKAEL ONG (MSNPP)