SUNGAI ACHEH – Penganjuran Penang2030 Festival x Pesta WOW di Sungai Acheh berlangsung meriah dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat.
Pelbagai acara menarik mewarnai pesta yang berlangsung sejak pagi seperti pertandingan mewarna kaligrafi Cina, tulisan khat, bengkel serta pertandingan membuat wau.
Penyertaan aktif penduduk setempat dalam aktiviti rakyat seperti sukan bendang, pertandingan dam haji, pertandingan memasak kerabu, pertandingan pakaian tradisional bertemakan wau dan jualan makanan dan minuman telah menambahkan lagi kemeriahan penganjuran pesta berkenaan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, penganjuran festival berkenaan menonjolkan usaha Kerajaan Negeri dalam memartabatkan budaya, memperkukuh ekonomi komuniti serta memajukan pelancongan negeri, selaras gagasan Visi Penang2030 dan Malaysia Madani ke arah ‘A Better 2026’.
Beliau berkata, penganjuran pesta berkenaan juga adalah amat signifikan kerana mengetengahkan budaya wau iaitu salah satu warisan tradisi Melayu yang bukan sahaja memukau dari segi seni, malah juga sarat dengan nilai sejarah, kreativiti dan jati diri bangsa.
“Lebih membanggakan, festival bertemakan wau ini merupakan julung kali dianjurkan di Sungai Acheh.
“Apa yang lebih menarik, festival ini bukan sekadar acara pameran, tetapi turut dimeriahkan dengan pelbagai program berteraskan penglibatan masyarakat setempat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian festival berkaitan dekat Jalan Sungai Acheh, Parit Kasa di sini sebentar tadi.






Turut hadir, Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Dato’ Rashidi Zinol; Exco Pembangunan Sosial, Kebanjikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Mohamaed Abdul Rahman; Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan; Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Kawasan Sungai Acheh.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa Sungai Acheh merupakan kawasan yang kaya dengan sejarah, tradisi dan keindahan alam semula jadi yang menjadikan kawasan itu bukan sahaja terkenal sebagai perkampungan Melayu unik, malah mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan budaya dan komuniti.
“Justeru, penganjuran festival seperti ini dapat menghidupkan suasana setempat, merancakkan ekonomi komuniti, memperkenalkan keunikan kawasan ini kepada pengunjung serta memartabatkan identiti warisan tempatan agar terus terpelihara.
“Malah, seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, Kerajaan Negeri akan terus mempergiat usaha untuk meningkatkan daya tarikan pelancongan setempat, termasuk mempromosikan Sungai Acheh sebagai salah satu destinasi pelancongan komuniti yang menawarkan pengalaman budaya autentik, unik dan bermakna,” ujarnya.
Dalam pada itu, Rashidi ketika berucap sebelum itu menyifatkan penganjuran pesta berkenaan sebagai bukti kebersamaan masyarakat di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Acheh dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini.
“Terima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha menjayakan penganjuran festival pada hari ini.
“InsyaAllah, kita (Kerajaan Negeri) akan berusaha membawa lebih banyak aktiviti yang dapat menggalakkan kehadiran pelancong ke sini, sekali gus membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat,” ulasnya.
Sebelum itu, Kon Yeow sambil diiringi Rashidi dan barisan tetamu kehormat menyaksikan pertandingan tarik tali akhir dan pertandingan memancing sebelum menyempurnakan acara simbolik perasmian penutup dengan melepaskan wau yang dihasilkan oleh penduduk setempat.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT