PANTAI JEREJAK– Lencongan trafik di Jalan Sultan Azlan Shah menghala ke George Town akan dilaksanakan bermula 26 Januari 2026 bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.
Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Chan Soon Aun berkata, lencongan tersebut melibatkan penutupan lorong paling kiri bermula dari kawasan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwang Hwa sehingga ke Balai Polis Sungai Nibong dan di hadapan SJKC Shih Chung Cawangan.
Lencongan ini hanya melibatkan lorong paling kiri sahaja, manakala lorong-lorong lain akan terus dibuka bagi memastikan aliran trafik dapat berjalan seperti biasa,” katanya yang juga Pengerusi Gantian Jawatankuasa Infrastruktur dan Lalu Lintas MBPP.

Beliau menjelaskan bahawa penutupan lorong tersebut adalah langkah perlu bagi membolehkan pelaksanaan kerja-kerja pembinaan LRT Laluan Mutiara Pakej CMC1 di bawah Projek LRT Pulau Pinang dijalankan dengan selamat dan teratur.
Keselamatan pengguna jalan raya dan kelancaran pembinaan adalah keutamaan.
“Oleh itu, papan tanda amaran, kon trafik serta pengawal bendera akan ditempatkan di lokasi tersebut bagi membantu kawalan trafik,” ujarnya.
Menurut Soon Aun, satu sesi lawatan tapak telah diadakan pada 23 Januari lalu, melibatkan Jabatan Kejuruteraan MBPP bersama pihak Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.) dan SRS LRT Sdn. Bhd. serta wakil pengurusan kedua-dua sekolah yang terlibat.
Mengulas mengenai kesan kepada pihak sekolah, beliau berkata bahawa persiapan awal telah dibuat bagi memastikan kebajikan dan keselamatan murid terpelihara.
“Pihak sekolah telah mengambil langkah proaktif antaranya, kenderaan ibu bapa dan van sekolah dibenarkan masuk ke kawasan sekolah bagi urusan menghantar dan mengambil murid sepanjang tempoh pembinaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah atas kerjasama yang diberikan serta memohon kesabaran orang ramai sepanjang tempoh lencongan dilaksanakan.
“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul.
“Kesulitan jangka pendek ini adalah demi keselesaan dan kemudahan jangka panjang kepada rakyat Pulau Pinang,” tambahnya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi MRT Careline di talian 1800 88 6782 atau melalui e-mel [email protected].
.