Penarafan antarabangsa perkukuh peranan USM sebagai universiti berimpak global

Admin
8f82758e 7242 4794 856d a47a5aff5701

KEJAYAAN Universiti Sains Malaysia (USM) berada dalam kelompok lima universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2026 mencerminkan komitmen berterusan institusi itu dalam memacu pendidikan tinggi berteraskan kelestarian, penyelidikan dan pembangunan masyarakat.

Menurut Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, pencapaian tersebut perlu difahami berdasarkan objektif dan metodologi penarafan berkenaan yang mengukur sumbangan universiti terhadap Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDGs).

“THE Impact Rankings menilai komitmen institusi menerusi penyelidikan, pendidikan, tadbir urus, operasi, jaringan kerjasama serta impaknya terhadap komuniti.

“Setiap sistem penarafan mempunyai objektif, indikator dan metodologi yang berbeza.

“Oleh itu, sesuatu kedudukan perlu dilihat berdasarkan perkara yang diukur dan tidak wajar dibandingkan secara langsung dengan penarafan lain.

“Bagi USM, kedudukan dalam kelompok lima universiti terbaik dunia serta pencapaian cemerlang dalam SDG 17: Partnerships for the Goals mencerminkan komitmen universiti dalam membina kerjasama strategik bersama kerajaan, industri, komuniti dan rakan antarabangsa bagi menghasilkan impak yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan media.

img 1893Dalam pada itu, Abdul Rahman menegaskan bahawa pencapaian tersebut bukan sekadar kejayaan dalam penarafan, malah mengukuhkan aspirasi USM untuk mentransformasikan pendidikan tinggi berteraskan kelestarian.

“Penarafan bukan destinasi akhir, sebaliknya menjadi penanda aras yang membantu universiti mengenal pasti kekuatan, ruang penambahbaikan serta meningkatkan sumbangan kepada masyarakat.

“Apa yang lebih penting adalah keupayaan universiti melahirkan graduan berkualiti, menjalankan penyelidikan yang menyelesaikan masalah sebenar serta menghasilkan inovasi yang memberi manfaat kepada negara dan dunia,” ujarnya.

Sementara itu, Penyelaras Unit Penyelidikan Kawalan Vektor, Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM, Prof. Madya Dr. Nur Faeza Abu Kassim, berkata peningkatan kedudukan antarabangsa universiti turut memberi impak besar terhadap pembangunan modal insan bertaraf global.

“Reputasi yang semakin kukuh membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk menyertai penyelidikan berimpak tinggi, menjalin kolaborasi antarabangsa, mengikuti program mobiliti akademik serta membangunkan inovasi yang mampu menangani cabaran dunia sebenar.

“Sebagai Penyelaras Unit Penyelidikan Kawalan Vektor, saya percaya penglibatan pelajar dalam penyelidikan sebenar merupakan platform terbaik untuk membentuk graduan yang berfikiran kritis, berdaya saing dan mampu menghasilkan penyelesaian berasaskan sains terhadap pelbagai isu masyarakat.

“Apabila pelajar diberi peluang untuk terlibat secara langsung dalam penyelidikan, mereka bukan sahaja memperoleh pengalaman yang bernilai, malah membina keyakinan untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

fb8b8cd2 dbf2 4e6a 9e48 a69dc3cca6fcMengulas lanjut, Nur Faeza berkata bahawa pembangunan inovasi BIOGEL, yang menerima pelbagai pengiktirafan serta liputan media, membuktikan penyelidikan yang bermula di universiti mampu diterjemahkan kepada teknologi yang memberi manfaat kepada komuniti.

“Ekosistem seperti inilah yang perlu terus diperkasakan agar lebih ramai pelajar berani meneroka bidang penyelidikan, menghasilkan inovasi dan membawa nama USM ke persada antarabangsa.

“Pada akhirnya, kejayaan sesebuah universiti bukan hanya diukur melalui kedudukannya dalam ranking dunia, tetapi melalui keupayaannya melahirkan graduan yang kompeten, berintegriti dan mampu mencipta impak yang berkekalan kepada negara serta masyarakat global,” tambahnya.

Turut senada, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Azfar Al-Hafiz Azman berkata, peningkatan kedudukan antarabangsa USM membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa untuk mengembangkan potensi di peringkat global.

“Reputasi universiti yang semakin kukuh membolehkan pelajar menyertai program mobiliti antarabangsa, pertukaran pelajar, penyelidikan bersama, latihan industri serta menjalinkan jaringan dengan universiti dan industri di seluruh dunia.

“Persekitaran kampus yang semakin pelbagai turut memberi peluang kepada mahasiswa meningkatkan kemahiran komunikasi, memahami budaya yang berbeza serta membina rangkaian antarabangsa, selaras dengan aspirasi melahirkan graduan yang holistik dan berdaya saing.

“Sebagai Yang Dipertua MPP USM, saya mahu memastikan setiap pelajar mendapat akses yang adil kepada peluang pembangunan dan mobiliti antarabangsa agar manfaat kejayaan ini dapat dinikmati bersama,” katanya.

56662df2 c501 47f0 9e39 78f24884a5e5Jelas Azfar Al-Hafiz, pengiktirafan antarabangsa USM turut mengukuhkan reputasi Pulau Pinang sebagai hab pendidikan tinggi, sekali gus menyokong pembangunan bakat bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi.

“Apabila lebih ramai pelajar, penyelidik dan pakar memilih USM, mereka bukan sahaja menyumbang kepada ekosistem akademik, malah merancakkan pertumbuhan ekonomi, inovasi dan perkongsian ilmu di Pulau Pinang.

“Saya berharap kejayaan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya menerusi kerjasama strategik antara universiti, Kerajaan Negeri dan industri agar Pulau Pinang terus menjadi destinasi pilihan untuk belajar, bekerja, berinovasi dan membina masa depan,” ulasnya.

Berkongsi pandangan sebagai pelajar, Lim Min Jun memberitahu bahawa pencapaian USM dalam THE Impact Rankings membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa untuk memahami dan menghayati amalan pembangunan mampan.

b236a53e 396c 48d9 9719 dc1a188442adMenurutnya, konsep SDGs tidak diterapkan secara paksaan. Sebaliknya, ia diintegrasikan secara semula jadi dalam kurikulum dan pelbagai aktiviti kampus sehingga menjadi sebahagian daripada pengalaman pembelajaran pelajar.

“Pendekatan ini membolehkan kami memahami konsep pembangunan mampan secara berperingkat dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian, bukannya sekadar memenuhi keperluan tugasan akademik.

“Malah, hampir di setiap sudut kampus terdapat program berkaitan SDGs dan pihak universiti sentiasa menggalakkan pelajar untuk melibatkan diri secara aktif,” ujar pelajar jurusan Kewartawanan, Pusat Pengajian Komunikasi USM itu.

Pada masa sama, Min Jun percaya pengalaman praktikal yang diperoleh melalui penglibatan aktif dalam pelbagai inisiatif berasaskan SDGs menjadi nilai tambah kepada graduan USM, sekali gus mengukuhkan lagi pengiktirafan antarabangsa terhadap keupayaan dan kualiti mahasiswa universiti berkenaan.

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN