JKM perkukuh kerjasama pelbagai agensi demi kebajikan rakyat

Admin
f456f020 e9fa 419f b2c2 7c7b203f0f34

GEORGE TOWN – Kerjasama erat antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Khidmat Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu terus diperkukuh bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kebajikan kepada rakyat lebih pantas, cekap dan berkesan.

a82f0a0a ea53 44ab be1c 7e6270204937

Menurut Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim, Program Penang Care Connect 2026 menjadi antara platform penting untuk memperkukuh jaringan kerjasama antara semua pihak yang terlibat dalam pengurusan kes-kes kebajikan di negeri ini.

“Program ini bukan sekadar sesi perkongsian maklumat, sebaliknya membuka ruang kepada kita untuk saling mengenali peranan masing-masing, membina rangkaian kerjasama dan memudahkan penyelarasan apabila berdepan isu-isu rakyat di lapangan.

“Apabila kita saling mengenali dan berhubung dengan lebih baik, maka urusan membantu rakyat juga akan menjadi lebih cepat dan lebih berkesan,” ujarnya ketika berucap pada Program Penang Care Connect 2026 dekat Auditorium A, Komtar di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang merangkap ADUN Bayan Lepas, Dato’ Azrul Mahathir Aziz; ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze; Pengarah JKM Pulau Pinang, Rozita Ibrahim dan wakil-wakil agensi kerajaan terlibat.

Jelas Siew Khim lagi, cabaran kebajikan pada masa kini semakin kompleks dan tidak lagi tertumpu kepada bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya melibatkan pelbagai aspek termasuk institusi keluarga, kesihatan, pekerjaan, pendidikan, perumahan, dokumen pengenalan diri, penagihan dadah serta kesihatan mental.

“Tiada mana-mana agensi mampu bergerak bersendirian, sama ada Pusat Khidmat, JKM, hospital, sekolah, polis, pihak berkuasa tempatan (PBT), atau NGO, malah komuniti sendiri mempunyai peranan tersendiri.

“Apabila semua pihak saling berhubung dan bekerjasama, kita bukan sahaja dapat menyelesaikan sesuatu kes dengan lebih cepat, malah mampu membantu seseorang atau sebuah keluarga membina semula kehidupan mereka,” jelasnya yang juga ADUN Sungai Pinang.

Dalam pada itu, Siew Khim turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga JKM Pulau Pinang atas komitmen dan dedikasi mereka dalam menguruskan pelbagai isu kebajikan di lapangan.

Tambahnya, masyarakat sering melihat JKM hanya sebagai agensi yang menguruskan bantuan kewangan, sedangkan pegawainya turut memikul tanggungjawab besar termasuk mengendalikan kes pengabaian kanak-kanak dan warga emas, operasi melibatkan gelandangan, pemantauan pusat jagaan serta pelbagai intervensi sosial lain.

“Mereka bukan hanya menguruskan permohonan bantuan di pejabat tetapi sentiasa berada di lapangan, menyelesaikan masalah dan mencari jalan terbaik untuk membantu rakyat yang memerlukan.

“Di sebalik setiap fail yang diuruskan, ada sebuah keluarga yang sedang mengharapkan pertolongan,” maklum beliau.

Mengulas lanjut, Siew Khim turut menekankan komunikasi yang baik antara semua pihak merupakan kunci utama dalam memastikan setiap aduan dan isu rakyat dapat ditangani dengan lebih cepat.

“Saya berharap saluran komunikasi yang diwujudkan akan terus dimanfaatkan dan sekiranya ada kes yang memerlukan bantuan atau pandangan, hubungilah pejabat saya.

“Kadang-kadang, satu panggilan telefon atau satu mesej sahaja sudah cukup untuk memulakan tindakan dan mencari jalan penyelesaian,” katanya lagi.