Penerbangan terus Pulau Pinang – Sumatera Barat mampu lonjak pelancongan dua hala

Admin
img 1839 (1)

SEBUT sahaja Padang di Indonesia, ramai pasti membayangkan keunikan adat dan budaya Minangkabau yang cukup sinonim dengan wilayah tersebut. Tidak kurang juga keenakan Nasi Padang yang telah lama menjadi antara hidangan kegemaran masyarakat di Malaysia.

 

Namun, di sebalik identiti itu, Sumatera Barat (SUMBAR) sebenarnya menyimpan pelbagai khazanah alam semula jadi, sejarah dan budaya yang berpotensi muncul sebagai destinasi pelancongan pilihan rakyat Malaysia.

Baru-baru ini, wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI, berpeluang meninjau sendiri keindahan SUMBAR bagi melihat potensi pelancongan wilayah itu yang mampu diperkasakan melalui cadangan penerbangan terus antara Pulau Pinang dan Sumatera Barat.

img 2729

Ketika ditemui, Kepala Bidang Pemasaran Pariwisata Dinas Pariwisata Provinsi Sumatera Barat, FAJRI HIDAYAT berkata, pihaknya kini sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan bagi merealisasikan laluan penerbangan terus antara Pulau Pinang dan SUMBAR sebagai usaha merancakkan sektor pelancongan serta merapatkan hubungan kedua-dua wilayah.

 

“Saya percaya sekiranya ada penerbangan terus, ia mampu mengembangkan sektor pelancongan di kedua-dua wilayah ini.

“Pulau Pinang merupakan antara destinasi pelancongan unggul di Malaysia, kita di Sumatera Barat pula tidak kurang hebatnya, kalau mahu pantai kita ada pantai, kalau mahu pergunungan kita juga ada, sungai, danau (tasik), tempat sejuk dan bermacam-macam lagi yang mampu memperkasakan sektor pelancongan dua hala ini.

“Setiap pelancong mempunyai cita rasa berbeza, mereka yang sudah  biasa menikmati keindahan pantai mungkin mencari suasana pergunungan, begitu juga sebaliknya.

“Kos perjalanan ke sini juga berpatutan, dengan perbelanjaan sekitar satu juta rupiah, pelancong sudah boleh menikmati pelbagai lokasi menarik di SUMBAR,” katanya ketika meraikan delegasi dari Pulau Pinang yang turut disertai oleh wartawan Buletin Mutiara dalam satu majlis makan malam pada 23 Jun lalu.

Menurut Fajri, pihaknya turut mendapatkan maklum balas daripada pemain industri pelancongan tempatan mengenai cadangan mewujudkan penerbangan terus dari SUMBAR ke Pulau Pinang yang diyakini mampu memberi manfaat besar kepada kedua-dua destinasi berbanding keperluan transit di Kuala Lumpur pada masa ini.

img 2143 (1)

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Wali Kota Padang, Maigus Nasir.

Dalam ucapannya, Maigus berharap hubungan antara Sumatera Barat dan Pulau Pinang tidak hanya tertumpu kepada sektor pelancongan, sebaliknya diperluaskan kepada bidang pendidikan, perdagangan, pelaburan serta pertukaran budaya yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat kedua-dua wilayah.

Menelusuri keindahan alam dan warisan SUMBAR

Sepanjang lima hari berada di SUMBAR, delegasi media yang dibawa oleh Pejabat Konsul Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Pulau Pinang, diketuai Konsul Ekonomi, Yomi Ayu Lestari, berpeluang menelusuri beberapa lokasi ikonik yang menjadi kebanggaan wilayah tersebut.

img 1839 (1) img 2686 img 2692

img 1653

Antara destinasi yang paling mencuri perhatian adalah Alahan Panjang, yang turut dikenali sebagai Mini Swiss of Indonesia.

Keindahan kawasan tanah tinggi itu cukup memukau dengan latar pergunungan berapi aktif, tasik yang tenang, udara sejuk serta hamparan ladang pertanian yang menghijau sejauh mata memandang.

Bagi menikmati panorama secara lebih dekat, pengunjung boleh menaiki kenderaan pacuan empat roda mengelilingi Tasik Talang sambil menyaksikan kehidupan masyarakat setempat yang mengusahakan pelbagai tanaman di lereng bukit.

Lebih menarik, terdapat beberapa hentian yang membolehkan pengunjung menikmati secangkir kopi atau teh panas sambil menghirup udara segar dan menghayati panorama alam yang mendamaikan.

img 2592

Tidak lengkap kunjungan ke Sumatera Barat tanpa singgah ke Istana Basa Pagaruyung di Batu Sangkar yang menjadi lambang kegemilangan tamadun Minangkabau.

Walaupun bangunan sedia ada merupakan replika, namun reka bentuknya hampir menyamai istana asal yang pernah menjadi pusat pemerintahan Kerajaan Pagaruyung, dipercayai diasaskan sekitar tahun 1347 oleh Adityawarman.

Sepanjang sejarahnya, istana tersebut beberapa kali musnah akibat peperangan dan kebakaran sebelum dibina semula bagi memelihara warisan sejarah masyarakat Minangkabau.

Pengunjung turut didedahkan dengan legenda asal-usul nama Minangkabau yang dikaitkan dengan pertandingan laga kerbau bagi mengelakkan peperangan antara dua pihak, sekali gus menjadi identiti yang kekal sinonim dengan masyarakat di wilayah tersebut hingga hari ini.

Dari pantai hingga kota bersejarah

Keindahan pantai di SUMBAR juga tidak kurang hebatnya. Pengunjung boleh berkunjung ke Labuan Sundai untuk menikmati panorama laut yang mempesonakan menerusi aktiviti island hopping sambil meneroka keindahan taman laut yang masih terpelihara.

img 2443 img 2471 img 2497 img 2500

Bagi mereka yang ingin menikmati suasana bandar pula, Jam Gadang di tengah-tengah pusat bandar yang merupakan mercu tanda wajib dikunjungi.

Menara jam yang dibina pada tahun 1926 itu mempunyai keunikan tersendiri kerana menggunakan campuran kapur, putih telur dan pasir tanpa simen sebagai bahan binaan utamanya.

Lebih menarik, sistem mekanikal jam yang dihadiahkan oleh Ratu Belanda Wilhelmina tersebut dikatakan menggunakan teknologi yang sama seperti yang digunakan pada Big Ben di London.

Tidak jauh dari situ adalah Ngarai Sianok, sebuah lembah menghijau yang dipercayai terbentuk hasil aktiviti gunung berapi ribuan tahun dahulu.

img 2521

Kawasan berkenaan turut menempatkan kubu peninggalan tentera Jepun, Masjid Raya Syekh Ahmad Khatib Al-Minangkabawi serta deretan gerai yang menjual makanan tradisional dan kraftangan tempatan pada harga berpatutan.

Bagi pencinta sejarah pula, kunjungan ke Muzium Rumah Kelahiran Bung Hatta pastinya memberikan pengalaman bermakna.

img 2722

Bung Hatta atau nama sebenarnya Mohammad Hatta atau dikenali juga sebagai Muhammad Athar merupakan Proklamator Kemerdekaan Indonesia dan tokoh penting yang berganding bahu dengan Presiden pertama republik itu, Soekarno, dalam memperjuangkan kemerdekaan negara tersebut.

Galeri di muzium berkenaan memaparkan pelbagai koleksi gambar, dokumen serta bahan pameran berkaitan perjalanan hidup, ketokohan dan semangat nasionalisme beliau.

Antara kisah yang sering menjadi perhatian pengunjung adalah keteguhan prinsip Bung Hatta yang berikrar tidak akan berkahwin sehingga Indonesia mencapai kemerdekaan, dan beliau mengotakan janji tersebut.

Secara keseluruhannya, SUMBAR menawarkan gabungan landskap alam semula jadi yang memukau, warisan sejarah yang kaya, budaya Minangkabau yang unik serta kepelbagaian gastronomi yang mampu memenuhi cita rasa pelbagai kelompok pelancong sekali gus mengukuhkan hubungan erat antara kedua-dua wilayah serumpun.