Pendidikan mampu ubah masa hadapan – Ahli Parlimen

 TANJUNG BUNGA – Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai menjelaskan bahawa Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Kerajaan Pusat baru-baru ini memberikan penekanan terhadap pendidikan dalam usaha membentuk generasi lebih berwawasan.

Jelas beliau lagi, Kerajaan Pakatan Harapan menyedari bahawa bidang pendidikan harus diperkasakan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat pada masa depan.

“Seperti kita semua tahu, pendidikan mampu mengubah nasib dan kualiti hidup seseorang. Justeru, belanjawan yang dibentangkan baru-baru ini jelas menunjukkan kesedaran kerajaan dalam memperkasakan pendidikan.

“Saya berasal dari flat Padang Tembak iaitu antara rumah pangsa terawal di Pulau Pinang, melalui pendidikan saya ubah hidup saya kepada seorang peguam sebelum menjadi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Air Itam dan sekarang Ahli Parlimen (Bukit Bendera),” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Orientasi Pelajar-Pelajar Baru Tingkatan 1 Tahun 2020 dekat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Bunga pagi tadi.

Hadir sama Pengetua bagi SMK Tanjung Bunga, Faridah Hussain.

Hon Wai dalam pada itu, turut menasihati para pelajar supaya bijak merebut peluang dalam dua sektor penting di negeri ini iaitu pelancongan dan juga perindustrian.

“Lokasi Tanjung Bunga amat strategik bagi sektor pelancongan yang dilihat menjadi industri penting di sini serta boleh menjadi salah satu peluang perniagaan mahupun pekerjaan.

“Bagi tahun 2019, dari Januari hingga September Pulau Pinang berjaya mencatatkan nilai pelaburan berjumlah RM13.3 bilion.

“Jumlah ini bersamaan dengan 15,000 peluang pekerjaan yang berjaya ditawarkan kepada penduduk Pulau Pinang, selatan Kedah, utara Perak bahkan dari Pantai Timur,” jelasnya lagi.

Pada majlis tersebut, Hon Wai turut menyampaikan cek bernilai RM6,000 kepada Faridah sebagai peruntukan untuk membeli projektor visual.

Dalam lawatan ringkas itu, Faridah turut memohon kepada Hon Wai untuk membina penutup longkang di sekolah terbabit bagi kemudahan murid-murid istimewa.

Teks dan Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI