Penduduk Flat Desa Timur sahut cabaran pengasingan sisa di punca

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

AIR ITAM – Penguatkuasaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca yang bakal dilaksanakan secara mandatori mulai 1 Jun 2017 disambut baik rakyat Pulau Pinang, khususnya penduduk di Flat Desa Timur di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Wong Hon Wai berkata, pihaknya kini giat melaksanakan kempen pendidikan bagi membudayakan pengasingan sisa domestik di punca dalam kalangan penduduk di Air Itam.

“Pastinya dengan kerjasama antara pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan persatuan penduduk, hasrat Kerajaan Negeri untuk melaksanakan pengasingan sisa di punca ini akan berjaya.

“(Dan) saya gembira apabila penduduk di sini menyahut cabaran untuk mengasingkan sisa domestik masing-masing bagi tujuan kitar semula,” ujarnya sejurus melancarkan sudut pengasingan sisa di Flat Desa Timur di sini 23 April lalu.

Menurut Hon Wai, melalui pengenalan sudut pengasingan sisa, penduduk secara sendirinya akan mengasingkan sisa yang boleh dikitar semula ke dalam ruang yang disediakan.

“Terdapat tiga ruang pengasingan sisa disediakan iaitu ruang bagi kertas, plastik dan botol plastik serta tin aluminium dan logam.

“Malah, ketiga-tiga ruang ini turut dicatkan dengan warna yang berbeza bagi memudahkan penduduk mengenali jenis sisa,’’ jelasnya.