Pelepasan 2 juta anak ikan mampu tingkat rangsangan ekonomi nelayan

Admin

Gambar : SHUM JIAN-WEI

BAYAN LEPAS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap hasil tangkapan para nelayan sekitar kawasan Pantai Tanjong Asam dapat ditingkatkan dan seterusnya akan memberi rangsangan baru kepada pendapatan serta pembangunan sosio-ekonomi masyarakat nelayan di kawasan sekitar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Melepaskan 2 Juta Benih Anak Ikan Di Pantai Tanjong Asam, Bayan Lepas di sini baru-baru ini.

“Pelaksanaan program seumpama ini sekaligus membuktikan Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk memperbaiki taraf hidup semua lapisan masyarakat sama ada peniaga kecil-kecilan, petani mahupun nelayan.

“Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) adalah kerajaan yang berjiwa rakyat… semua rakyat tanpa mengira bangsa mahupun agama, kaya atau miskin berhak dan mesti mendapat layanan seadilnya.

“Kerajaan Negeri bangga untuk menyatakan bahawa usaha kita membantu para nelayan melalui pemberian bantuan pukat dua kali setahun terus dilaksanakan meskipun sering dikritik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz dan Pengarah Urusan Global Agro Life Sdn. Bhd.,Lim Sui Yaw.

Guan Eng dalam pada itu turut mengucapkan terima kasih kepada Sui Yaw yang merupakan anak watan Sungai Pinang, Balik Pulau yang sudi menyumbangkan 2 juta ekor anak ikan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menjayakan program berkaitan.

Pada majlis berkaitan, kira-kira 500,000 benih udang dan kira-kira 30,000 hingga 40,000 benih anak ikan siakap serta ikan merah dilepaskan.

Saiz anak ikan yang dilepaskan adalah antara dua hingga tiga inci.

“Baki proses pelepasan seterusnya akan dilakukan selepas tempoh empat hingga lima bulan dan akan diuruskan oleh syarikat berkaitan setelah mendapat maklumat dan nasihat daripada Jabatan Perikanan Negeri.

“Kemungkinan proses pelepasan kedua akan dilakukan di pantai yang berlainan agar kawasan pembiakan ikan dapat diperbesarkan lagi,” jelasnya.

Difahamkan benih-benih udang tersebut akan mengambil masa selama tiga bulan, manakala benih-benih ikan (lima hingga enam bulan) sebelum tempoh matang dan boleh ditangkap