Pengguna jalan raya berhemah, didikan di usia muda perlu dititikberatkan

PULAU BETONG – Dalam melahirkan generasi berhemah sebagai pengguna jalan raya, didikan awal di usia muda adalah perlu dititiberatkan.

Ketua Unit Ko-Kurikulum, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Zulkafli Kamaruddin berkata, pendedahan berhubung keselamatan jalan raya dalam kalangan pelajar khususnya, perlu dilakukan secara berterusan dan sistematik supaya dapat melahirkan pelajar yang berhemah semasa berada di jalan raya.

“Pelajar merupakan pewaris negara dan mereka boleh diasuh untuk menjadi duta kecil dalam mempromosikan kempen keselamatan jalan raya dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya ketika hadir menyempurnakan Majlis Pembentangan Outcome Based (OCB) Kelab Keselamatan Jalan Raya Peringkat Negeri Pulau Pinang 2017 di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Teras dekat sini 22 November lalu.

Dalam pada itu, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Nur ‘Aishah Md. Norodin menyatakan bahawa pertandingan tersebut adalah bertujuan memberi kesedaran serta memartabatkan pendidikan keselamatan jalan raya dalam kalangan pelajar.

“Malah, Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pulau Pinang sentiasa membantu bagi memastikan kempen ini memberi impak yang positif,” ujarnya.

Difahamkan, 100 daripada 271 sekolah rendah dan 50 daripada 127 sekolah menengah di Pulau Pinang telah menubuhkan Kelab Keselamatan Jalan Raya dengan jumlah ahli kelab seramai 2,970 bagi sekolah rendah dan sekolah menengah (1,070).