SIMPOSIUM PULAU PINANG SEBAGAI NEGERI MAMPAN Adakah Pulau Pinang Mampu Mencapai Kemampanan Pada Tahun 2030?

Tarikh: 15 & 16 Januari 2018 Tempat: Auditorium A, Tingkat 5, KOMTAR Yuran dan pendaftaran: • RM50 bagi peserta yang berumur 31 tahun dan ke atas • PERCUMA bagi peserta yang berumur 18-30 tahun (golongan belia)

 

1. LATAR BELAKANG Dalam Sidang Kemuncak Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations) yang diadakan pada September 2015 yang lalu, para pemimpin dunia telah menerima 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) sebagai Agenda tahun 2030 bagi mencapai misi dunia untuk mewujudkan dunia yang mampan.

SDGs yang terdiri daripada 169 sasaran, telah berkuatkuasa pada Januari 2016, dengan tujuan untuk menggalakkan supaya semua negara di dunia menyahut seruan untuk melindungi bumi dengan mengambil kira elemen-elemen bagi memenuhi keperluan generasi masa kini dan generasi masa depan menjelang tahun 2030.

Menurut Paradigma Pulau Pinang – iaitu pelan pembangunan yang diperkenalkan pada tahun 2013, kemampanan merupakan elemen utama dalam strategi pembangunan negeri Pulau Pinang.

Tambahan pula, 17 SDGs yang diperkenalkan pada 2015 juga telah menyeru untuk mengkaji semula haluan dan strategi pembangunan bagi meningkatkan usaha kemampanan berterusan di negeri Pulau Pinang, dalam jangka masa panjang.

2. MATLAMAT DAN OBJEKTIF Simposium ini bermatlamat untuk mewujudkan platform kepada pihak berkepentingan di Pulau Pinang – agensi kerajaan, akademik, badan bukan kerajaan, masyarakat tempatan, golongan belia dan sektor swasta untuk membincangkan pendekatan dan inisiatif yang perlu diambil untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negara hijau dan mampan sebelum tahun 2030, dengan menggabungkan SDGs dalam strategi pembangunan negeri.

Simposium ini bermatlamat untuk mengumpulkan input bagi pembangunan Agenda Hijau Negeri Pulau Pinang yang akan menjadi dokumen pernyataan strategi bagi menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang hijau dan mampan dengan merujuk kepada SDGs.

Objektif simposium ini adalah: • Untuk membincangkan cabaran-cabaran alam sekitar pada waktu semasa dan masa hadapan yang perlu ditangani di Pulau Pinang

• Untuk memperkenalkan SDG kepada pihak berkepentingan di negeri Pulau Pinang dan mencadangkan sasaran dan juga SDG yang perlu diberi keutamaan untuk meningkatkan kemampanan alam sekitar Pulau Pinang

• Untuk memupuk perbincangan oleh pelbagai pihak berkepentingan untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang hijau dan mampan.