Pengiktirafan bukti MPSP mampu bersaing – Maimunah

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menerima pengiktirafan sebagai Best Cities daripada Europe Business Assembly (EBA) iaitu sebuah badan korporat bebas terkemuka Eropah di Stresa, Itali baru-baru ini.

MPSP menerima anugerah tersebut berdasarkan kriteria pengurusan bandar, penyediaan infrastruktur yang baik dan sistematik serta mempunyai persekitaran kondusif untuk pembangunan.

Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Shariff berkata, anugerah itu merupakan pencapaian tertinggi MPSP terutamanya dalam pengurusan bandar dan wilayah.

“Pengiktirafan ini membuktikan bahawa MPSP mampu bersaing dengan manamana pihak berkuasa tempatan di peringkat antarabangsa dan saya berharap, ia dapat menjadi perangsang dan pendorong kepada semua warga Seberang Perai,” nyatanya dalam sidang media di sini baru-baru ini.

Turut sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan Setiausaha Politik beliau, Wong Hon Wai yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam.

Jelas Maimunah, moto MPSP iaitu ‘Kemampanan Adalah Komitmen Kami’ kini dapat direalisasikan dan terbukti berkesan.

Selain sebuah trofi Best City dan sijil pengiktirafan Best Cities, kategori pertumbuhan dinamik bagi sesebuah bandar dan wilayah, Maimunah sendiri turut menerima pingat daripada badan berprestij tersebut.

Malah, MPSP turut menerima dua lagi pengiktirafan iaitu Certificate of Excellence Presented to the Finalist (Top Medical/Travel/Hospitality Web-Site) dan Certificate of Excellence Presented to the Winner (Best Holiday Destination/Resort).

Dengan pengiktirafan tersebut, MPSP kini boleh menjalankan promosi bandar dan wilayah dalam kalangan ahli dan rakan-rakan kongsi EBA menggunakan trademark mengikut Akta Cap Dagangan 1994, United Kingdom dan Peraturan-Peraturan Anugerah EBA bagi tempoh lima tahun bermula 23 Jun 2014 hingga 23 Jun 2019.

MPSP juga diberi ruang untuk kemukakan sebarang cadangan pelaburan bandar atau profil organisasi dalam laman sesawang khas di bawah EBA bagi penyertaan dan perkongsian idea di peringkat global.

Pencapaian terbaru itu sekaligus menyerlahkan lagi imej kepimpinan berintegriti Kerajaan Negeri Pulau Pinang di mata dunia.