SEBERANG JAYA – Pasar awam di Seberang Perai dicadangkan supaya ditransformasi daripada sekadar lokasi jual beli kepada ‘Hub Komuniti’ yang mampu membuka lebih banyak ruang ekonomi kepada peniaga kecil, usahawan muda, ibu tunggal dan golongan berpendapatan rendah (B40).
Ahli Majlis MBSP, C. Linggeswaran berkata, pendekatan itu mampu menghidupkan semula kawasan pasar, khususnya pada hujung minggu, di samping mewujudkan peluang baharu kepada komuniti setempat.
Menurutnya, pasar awam tidak seharusnya dilihat hanya sebagai tempat transaksi harian, sebaliknya boleh dimanfaatkan sebagai ruang strategik untuk menggerakkan ekonomi setempat dan mengukuhkan hubungan komuniti.
“Rakyat tidak hanya memerlukan infrastruktur yang cantik, peniaga kecil pula memerlukan pelanggan, usahawan muda memerlukan ruang, ibu tunggal memerlukan peluang pendapatan dan golongan B40 memerlukan platform untuk meningkatkan ekonomi keluarga,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Mesyuarat Majlis Penuh MBSP Kali Ke-627 (Bil. 9 2026) di Dewan Kenangan, Menara Bandaraya MBSP, hari ini.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar tiga pasar awam dipilih sebagai projek perintis bagi melaksanakan konsep berkenaan dan diperluas pada masa akan datang.
Katanya, kawasan yang bersesuaian di sekitar pasar boleh diaktifkan pada setiap hujung minggu menerusi pelbagai program termasuk aktiviti komuniti, program belia, aktiviti kekeluargaan, promosi produk tempatan serta ruang jualan kepada usahawan kecil.
“Peluang khusus juga boleh diberikan kepada peniaga tempatan, belia, ibu tunggal dan golongan B40 untuk mengambil bahagian,” katanya.
Linggeswaran turut mencadangkan MBSP menilai semula potensi kawasan parkir yang tidak digunakan pada waktu tertentu untuk dijadikan ruang aktiviti komuniti dan ekonomi.
“Jangan kita lihat parkir hanya sebagai tempat meletakkan kereta.
“Jika dirancang dengan baik, ruang tersebut boleh menjadi platform aktiviti yang menarik lebih ramai pengunjung ke pasar.
“Apabila lebih ramai orang datang, peniaga sedia ada mendapat pelanggan, peniaga baharu mendapat peluang, produk tempatan mendapat promosi dan ekonomi setempat mula bergerak,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan selari dengan keperluan untuk mewujudkan bandar yang bukan sahaja mempunyai infrastruktur berkualiti, tetapi turut menyediakan peluang ekonomi yang inklusif kepada rakyat.
“Jangan kita lihat pasar hanya sebagai tempat jual beli dan jangan kita lihat hujung minggu sebagai waktu pasar menjadi sunyi.
“Mari kita tukarkan ruang yang kosong menjadi peluang, pasar yang sunyi menjadi pusat komuniti dan aktiviti hujung minggu menjadi aktiviti ekonomi rakyat,” katanya.
Menurutnya, inovasi pentadbiran tidak semestinya memerlukan pewujudan aset baharu, sebaliknya boleh bermula dengan memanfaatkan ruang dan aset sedia ada secara lebih kreatif dan berimpak.
“Pentadbiran yang baik bukan hanya tentang menjaga apa yang sudah ada, sebaliknya perlu mempunyai keberanian untuk melihat apa yang boleh kita lakukan dengan lebih baik untuk rakyat.
“Justeru, saya mahu MBSP menjadi Pihak Berkuasa Tempatan yang bukan sekadar mengurus ruang, tetapi mencipta peluang melalui ruang yang kita ada,” katanya.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN