Pengurusan imigresen, isu lambakan warga asing antara fokus pertemuan

Admin
whatsapp image 2026 05 07 at 10.57.06

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Syamsul Fitry Ahmad bersama-sama delegasinya di sini sebentar tadi.

 

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Pengurusan), M. Sanjeetharan; Timbalan Pengarah (Kawalan), Khwaja Banthey Navaz Mohamed Haneef serta barisan pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Pulau Pinang (JIMPP).

whatsapp image 2026 05 07 at 10.57.07
BARISAN pegawai kanan JIMPP merakamkan gambar kenang-kenangan bersama-sama Ketua Menteri usai kunjungan hormat di sini.

Dalam pertemuan tersebut, pelbagai isu semasa dan cabaran berkaitan pengurusan imigresen di negeri ini dibincangkan termasuk isu pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta lambakan warga asing yang kebanyakannya terlibat dalam sektor pengilangan, pembinaan, perniagaan runcit dan pekerjaan domestik seperti pembantu rumah.

 

Selain itu, turut dibangkitkan adalah kesalahan penyalahgunaan pas lawatan sosial oleh warga asing yang dipercayai bekerja tanpa permit sah, isu kesihatan awam khususnya berkaitan penyakit tuberkulosis (tibi) yang dilaksanakan menerusi kerjasama strategik bersama Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan pemantauan serta kawalan kesihatan dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh.

 

Pihak imigresen juga memaklumkan mengenai pelaksanaan kemudahan ‘autogate’ dan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) dalam usaha mempertingkat kecekapan penyampaian perkhidmatan serta kawalan pintu masuk negara khasnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang diselaraskan di bawah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kawalan sempadan negara.

whatsapp image 2026 05 07 at 10.57.08
SYAMSUL Fitry Ahmad (duduk) diapit oleh M. Sanjeetharan (kanan) dan Khwaja Banthey Navaz Mohamed Haneef (kiri) ketika hadir di Pejabat Ketua Menteri, tadi.

Pada masa sama, pihak imigresen memaklumkan mengenai pelaksanaan Program Repatriasi Migran (PRM) yang memberi peluang kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) untuk pulang ke negara asal secara sukarela dengan kadar kompaun lebih rendah tanpa melalui proses pendakwaan.

 

Terdahulu, Kon Yeow menyatakan bahawa pertemuan tersebut menjadi platform penting untuk bertukar pandangan serta memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Negeri dan JIMPP dalam memastikan aspek pengurusan imigresen, kawalan serta keselamatan negeri terus berada pada tahap yang terbaik dan terkawal.

 

 

 

Gambar : ALISSALA THIAN