Pengusaha syukur terima mesin kacau dodol

Gambar: MUHASDEY MUHAMAD

PINANG TUNGGAL – Pejabat Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Pinang Tunggal dengan kerjasama Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kampung Tok Bedu baru-baru ini menghulurkan sumbangan berupakan satu unit mesin mengacau dodol kepada seorang pengusaha dodol tempatan di sini.

Penerima, Rodziah Hashim, 59, menerima sumbangan tersebut di kediaman beliau di Kampung Tok Bedu di sini.

Ketika ditemui, Rodziah bersyukur dan berterima kasih kepada ZPP yang membantu beliau mendapatkan peralatan untuk meningkatkan pengeluaran dodolnya.

“Sebelum ini, makcik (Rodziah) cuma guna dapur kayu dan kacau sendiri, la ni (sekarang ini) makcik akan gunakan mesin ini untuk tambah pengeluaran dodol makcik,” katanya yang telah mengusahakan perusahaan dodol lebih 10 tahun.

Dalam pada itu, PPK Pinang Tunggal, Muhasdey Muhamad berkata, peruntukan mesin mengacau dodol disalurkan ZPP melalui pejabatnya membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat khususnya pengusaha kecil untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing.

“Semoga bantuan ini akan digunakan sebaik mungkin untuk meningkatkan lagi kuantiti pengeluaran dan kualiti produk dodol yang diusahakannya selama ini,” ujar beliau.

Turut hadir,, Ahli Lembaga Pengarah ZPP, Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman dan wakil JKKK Kampung Tok Bedu.