Penjualan tanah Kg. Terang – KM sudah tunggu 2 tahun

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

BALIK PULAU – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mencabar pihak yang ingin menyaman beliau berhubung pendedahan penjualan tanah Kampung Terang membabitkan 31 pemilik Melayu di sini beberapa tahun lalu.

Katanya, niat tersebut telah dinyatakan selama dua tahun, namun sehingga kini, tiada sebarang tindakan diambil.

“Cakap nak saman Lim Guan Eng, nak saman samanlah, sudah cakap dua tahun tak saman lagi!

“Dua tahun cakap nak saman, tak saman lagi. Kita cakap fakta, bagi rakyat tahu, siapa yang untung daripada penjualan tanah tanah ini. Bukanlah Lim Guan Eng, bukanlah Kerajaan Negeri, yang untung UMNO sendiri!” tegasnya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Pendaftaran Pelajar Ke Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (i-BITA) Peringkat Daerah Barat Daya di Dewan Pasar Awam Balik Pulau di sini baru-baru ini.

Bagi tahun ini, Kerajaan Negeri meluluskan 333 permohonan bagi Daerah Barat Daya termasuk 82 permohonan membabitkan pelajar jurusan diploma.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd Rashid Hasnon, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar,
Phee Boon Poh, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu, sebuah syarikat membeli tanah orang kampung membabitkan 31 pemilik tanah dengan harga RM8.6 juta dan tidak sampai tiga bulan setengah, tanah terbabit dijual dengan harga RM13.5 juta.

Ini bermakna, pihak berkaitan mengaut keuntungan RM5 juta dalam tempoh tiga setengah bulan (3.5 bulan).

“Syarikat ini dimiliki oleh siapa? Dua orang, satu ialah Datuk Omar Faudzar, Ketua UMNO Bahagian Bukit Gelugor; kedua, Datuk Musa Sheikh Fadzir, Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang.

“Kalau mereka benar-benar pemimpin rakyat, keuntungan yang diperoleh dalam tempoh tiga bulan setengah itu patut kongsi sama kongsi,” kata beliau.

Guan Eng menambah, seperti di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri ada lebihan, ia tidak simpan, tidak ‘ditelan’, sebaliknya, dikongsi bersama rakyat.

“Kita cakap tentang fakta, ini fakta tak boleh lari, dokumen semua ada.

“Ada orang cuba putar belitkan, saya dipersalahkan, satu kupang pun tak dapat, sekupang pun tak dapat, saya pulak salah, dia untung habis RM5 juta, untung, salahkan orang lain.

“Kita tak gentar, kerana kita cakap benar. kita sedialah hadapi apa-apa tindakan. Jangan ingat Ketua Menteri mudah nak tekan. Mungkin senang nak aniayai Lim Guan Eng, tapi jangan aniayai jawatan Ketua Menteri kerana Ketua Menteri dipilih oleh rakyat. Mandat oleh rakyat,” jelasnya.

Dalam laporan tahun 2012, Ketua Menteri menyatakan bahawa Perdana Menteri harus mengarahkan Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Pengarah Pilihanraya Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Omar  Faudzar supaya memulangkan keuntungan RM5 juta sebagai broker tanah atau 57 peratus keuntungan yang dikaut dalam 3.5 bulan kepada 31 pemilik tanah Melayu di Kampung Terang, Balik Pulau di sini.

Katanya, walaupun perbuatan kedua-dua pemimpin UMNO tersebut tidaklah haram, namun, tindakan mereka sebagai broker tanah menjual tanah Melayu untuk keuntungan peribadi yang sepatutnya dimiliki pemilik tanah Melayu adalah tidak bermoral
dan tidak berprinsip, apatah lagi, apabila mereka mendakwa kononnya mempertahankan hak tanah Melayu.