Kompleks Bkt. Gedung cemerlang, bukti KN tidak abai Bumiputera

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

BATU MAUNG – Kompleks Bukit Gedung yang siap dinaiktaraf Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP)  pada September 2012 dinobatkan Johan Anugerah Medan  Selera Bersih, Sihat & Selamat Peringkat Kebangsaan 2014 Kategori 31 Unit Ke Atas anjuran Bahagian Keselamatan  dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ekoran pengiktirafan tersebut, pihak pengurusan kompleks, Persatuan Penjaja-penjaja Kecil Astaka Bukit Gedung memperoleh wang tunai RM3,000, plak kemenangan dan sijil penghargaan.

Hadir meraikan kemenangan tersebut adalah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Bekalan Air (PBA) Holdings Bhd., Mohamad Sabu.

Dalam ucapannya, Guan Eng yang menzahirkan ucapan tahniah kepada pihak berkaitan menyatakan bahawa pengiktifaran tersebut jelas membuktikan bahawa Kerajaan Negeri tidak mengabaikan golongan Bumiputera negeri Pulau Pinang yang mana Kompleks Bukit Gedung adalah terdiri daripada 100 peratus peniaga kaum Melayu yang terkenal dengan pelbagai masakan sedap.

“Bukan mudah untuk menjadi medan selera terbaik di Malaysia, sebaliknya, ia semestinya perlu libatkan usaha-usaha murni dan perlukan kesabaran serta kerjasama yang tinggi.

“Haruslah kita teruskan usaha menjaga kebersihan ini kerana bukan sahaja amalan tersebut dapat menjamin kesihatan yang baik, bahkan kebersihan adalah sebahagian daripada keimanan,” ujarnya pada Majlis Penghargaan Kompleks MPPP Bukit Gedung di sini baru-baru ini.

Pada majlis perasmian sebelum ini, Guan Eng turut menyatakan bahawa Kompleks Bukit Gedung yang cantik dapat  disamakan dengan taraf kompleks makanan di negara Korea.

“Ini merupakan bukti Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) memberi perhatian kepada peniaga-peniaga kecil di sini.

“Saya juga ‘cemburu’ melihat keindahan kompleks ini, sebab kawasan saya (Dewan Undangan Negeri, DUN Air Putih) sendiri pun tiada macam ini,” seloroh beliau.

Kompleks Bukit Gedung dinaiktaraf pada November 2011 melibatkan kos RM1.5 juta menerusi peruntukan MPPP bagi memperbaiki 56 gerai daif serta kemudahan asas lain kompleks demi kepentingan rakyat.

Keistimewaan di sini adalah suasananya yang bersih, fasiliti sempurna selain keenakan makanan-makanan popular seperti burger, tomyam, roti canai, capati, kuih-muih, nasi ayam, char kuey teow, satay dan lain-lain yang sentiasa menggamit para pengunjungnya.