Pensonic labur RM50 juta serlah keyakinan pelabur ke P. Pinang

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : LAW SUUN TING

BUKIT TAMBUN – Pensonic Holdings Berhad (Pensonic) melabur sebanyak RM50 juta untuk membuka ibu pejabat pengeluaran berkaitan peralatan elektronik rumah di Taman Perindustrian Bukit Minyak di sini baru-baru ini, sekaligus menyerlahkan keyakinan pelabur ke negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Pulau Pinang masih menjadi destinasi pelaburan pilihan, sungguhpun ekonomi di negeri ini kian mencabar apabila beberapa syarikat multinational dari antarabangsa sedang melakukan penstrukturan semula operasi masing-masing.

“Terdapat laporan akhbar tertentu yang mengelirukan serta tidak benar, kononnya pelabur dan kilang-kilang ‘melarikan diri’ dari Pulau Pinang atau menutup operasinya di negeri ini.

“Saya sangat bangga kerana Pensonic masih setia melabur di Pulau Pinang,” ucapnya pada Majlis Perasmian Pembukaan Ibu Pejabat Pensonic di sini baru-baru ini.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Dato’ Law Choo Kiang dan P. Kasturiraani (Ahli Parlimen Batu Kawan) turut menyertai majlis tersebut.

Difahamkan, terdapat lima syarikat multinasional mengumumkan langkah Penggabungan dan Pemerolehan (M&A) dalam menstruktur semula operasi masing-masing di peringkat antarabangsa.

Justeru, Guan Eng memberitahu, langkah yang diambil oleh syarikat-syarikat terbabit bukanlah gambaran yang sebenar kononnya iklim ekonomi di negeri ini ‘suram’. Mengulas mengenai iklim ekonomi negeri, beliau sekali lagi menjelaskan bahawa pelaburan ke Pulau Pinang dalam tempoh tujuh tahun sehingga 2014 masih menunjukkan peningkatan sebanyak 93 peratus menjadi RM48.2 bilion, berbanding angka RM24.9 bilion yang direkodkan dalam tempoh sama sebelum tahun 2008.

Seperti Pensonic yang membuka ibu pejabat di negeri ini, Guan Eng menyatakan bahawa syarikat itu mengalami pertumbuhan pesat sebanyak 207 peratus, melalui jualan eksport antara 2011 dan 2014.

Sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pensonic, Datuk Seri Chew Weng Khak memberitahu bahawa Pensonic adalah sebahagian daripada jenama Pulau Pinang kerana syarikat itu mula ditubuhkan di Balik Pulau, 50 tahun lalu.

Katanya, Pensonic mencatat perolehan sebanyak RM386 juta, dengan margin keuntungan kira-kira RM17 juta bagi tahun berakhir pada 31 Mei lalu.

“Bangunan baru ini akan berfungsi sebagai Hub Operasi Global untuk kami ke pasaran masa depan yang lebih kukuh di rantau Asia Tenggara dan Timur

Tengah. Tambah Weng Khak, Pensonic mempelbagaikan produktivitinya, termasuk pelancaran telefon pintar Fonebud Essential Plus terbaru pada bulan Ogos lalu.

“Kita akan mengeluarkan lebih banyak produk tidak lama lagi di bawah Fonebud yang pelbagai ini,” ujar beliau.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);