Penubuhan koperasi buka peluang kerja, perniagaan

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berkata, Kempen ‘Satu Koperasi, Satu Komuniti’ yang dilancarkan pada 16 Disember 2016 adalah bertujuan menyemarakkan minat masyarakat setempat bagi menubuhkan koperasi di kawasan masing-masing.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat berkata demikian ketika menjawab soalan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Dato’ Mohd. Salleh Man dalam ucapan penggulungannya pada persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-13 baru-baru ini.

Menurut Mohd. Rashid, melalui penubuhan koperasi, pelbagai peluang termasuk peluang pekerjaan dan perniagaan terbuka luas.

“Penglibatan rakyat secara berkumpulan akan meningkatkan sumbangan koperasi terhadap pembangunan sosio-ekonomi negeri.

“Malah, Kerajaan Negeri juga sentiasa bekerjasama dengan ANGKASA (Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad) Cawangan Negeri Pulau Pinang dalam membimbing koperasi baru, termasuk menganjurkan kursus wajib dan bengkel pengurusan koperasi.

“Di samping itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) turut menyediakan pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMP) sehingga RM10 juta dengan kadar faedah 1 hingga 6 peratus dan tempoh pembiayaan maksimum selama 20 tahun untuk koperasi yang berdaya maju,” ujarnya.

Sebagai rekod, Mohd. Rashid memberitahu, sehingga 31 Disember 2016, sejumlah 726 koperasi didaftarkan di Pulau Pinang, meliputi 329 koperasi di bahagian pulau dan Seberang Perai (397).

“Juga 33 koperasi qariah masjid terdapat di Pulau Pinang, menjadikan keseluruhan anggota koperasi 224,142 orang dengan jumlah syer (yuran) sebanyak RM617,436,326.22.

“Manakala jumlah aset adalah mencecah RM3.1 bilion dengan jumlah perolehan sebanyak RM1,383,210,321.41.

“Semua koperasi berdaftar di Pulau Pinang adalah terdiri daripada pelbagai fungsi termasuk kredit pembinaan, pengangkutan, pengguna, perbankan, perindustrian, perkhidmatan, pertanian dan perumahan,” jelas beliau.