Semua berperanan cungkil bakat anak-anak dalam sukan

Admin

GEORGE TOWN – Dasar Satu Murid Satu Sukan (SMSS) yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan  merupakan satu langkah dalam menyumbang kepada pemerkasaan pembangunan sukan dan atlet dalam negara, termasuk Pulau Pinang.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng berkata, pelantar kepada pembangunan sukan pada dasarnya adalah sistem sekolah negara iaitu hampir setiap murid akan melalui sistem pendidikan kebangsaan yang merupakan ‘catchment area’ bagi mengenal pasti bakat atlet dalam kalangan pelajar.

“Atlet-atlet yang menyerlah dalam program sukan di sekolah akan diserap di bawah Pusat Latihan Daerah (PLD) atau Sekolah Sukan Negeri (SSN).

“Darinya, Majlis Sukan Negeri (MSN) akan melaksanakan program uji bakat bagi menyerap atlet-atlet berpotensi untuk menjalani latihan pembangunan sukan negeri, dan seterusnya diberikan pendedahan berterusan untuk mengikuti kejohanan-kejohanan sukan peringkat negeri atau antarabangsa,” ucapnya pada sesi penggulungan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bersidang baru-baru ini.

Tuntas itu, menurut Chong Eng, bagi mewujudkan kejayaan dalam melahirkan atlet- atlet berwibawa, jaringan  kerjasama dari pelbagai pihak seperti Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Persatuan Sukan Kebangsaan dan Negeri serta badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan lain turut memainkan peranan penting.

“Secara keseluruhannya, bagi membina atlet negeri yang berdaya saing, ia memerlukan komitmen serta kerjasama luas dan berterusan antara semua pihak bermula di bangku sekolah sehingga ke peringkat seseorang atlet mencapai kejayaan di arena antarabangsa.

“Semua pihak termasuk keluarga berperanan dalam mencungkil bakat anak-anak sejak kecil.

“Justeru, setiap murid digalakkan menyertai sukan dan ini sudah tentu akan membantu meluaskan bakat-bakat sukan yang ada di peringkat akar umbi,” ujarnya.