Penyertaaan Anugerah Sekolah Hijau 2013 bertambah

Admin

Oleh : MOHD. HAFIZ TAJUDIN

BUKIT MERTAJAM – Majlis Perbandaran Seberang Perai baru-baru ini melancarkan buku Sekolah Hijau Seberang Perai yang bakal dijadikan rujukan bagi pihak-pihak sekolah yang mengambil bahagian dalam penganjuran Anugerah Sekolah Hijau kelak.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Maimunah Mohd. Sharif, antara kandungan buku 60 halaman tersebut adalah 10 kriteria utama penilaian Anugerah Sekolah Hijau yang dipertandingkan sejak tahun 2010.

“Kriteria tersebut termasuklah amalan 3R, penggunaan sisa makanan, penggunaan minyak masak terpakai, penciptaan bahan pembersih, pengurangan beg plastik, penanaman pokok, penjimatan tenaga, penjimatan air, kebersihan kawasan sekolah
dan aktiviti yang kreatif serta inovatif,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Anugerah Sekolah Hijau 2013 di sini baru- baru ini.

Anugerah Sekolah Hijau dilaksanakan MPSP merupakan inisiatif diperkenalkan Kerajaan Negeri bagi menerapkan pendidikan alam sekitar secara berterusan di samping penerapan secara holistik dalam pengurusan serta pemuliharaan alam sekitar.

Turut disampaikan bersempena majlis tersebut adalah insentif berbentuk wang tunai sebagai galakan kepada pihak sekolah yang menyertai anugerah terbabit dalam mendapatkan keperluan projek kitar semula.

Menurut Maimunah, penganjuran Anugerah Sekolah Hijau kali keempat (2013) terus mencatat pertambahan menggalakkan dengan penyertaan 64 buah sekolah berbanding tahun 2012 (53), 2011 (36) dan 2010 (30).