Warga emas dibantu

Admin

BERTAM – Sepanjang bulan Mac lalu, mantan Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Bertam, Asrol Sani Abdul Razak telah mengadakan lawatan dan ziarah pada Program Ziarah ke rumah-rumah warga emas terlantar sakit di sini.

Menurut Asrol, lawatan tersebut adalah melibatkan enam buah kawasan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Bertam iaitu di Kampung Datok, Permatang Sintok, Padang Benggali, Sri Serdang, Permatang Bertam dan Pongsu Seribu.

“Bersempena program tersebut, hampir 120 buah rumah warga emas yang terlantar sakit telah dilawati.

“Inilah medium yang digunapakai sejak tiga tahun lalu, iaitu menyantuni warga emas di kediaman mereka selain mendengar permasalahan dihadapi,” katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Tambah Asrol Sani, selain mengenali dengan lebih dekat warga Bertam, lawatan tersebut juga mampu mengeratkan hubungan antara rakyat dan Kerajaan Negeri.

Bersempena lawatan itu, beliau turut menyampaikan bantuan berupa keperluan asas dan barangan dapur serta beberapa unit kerusi roda kepada warga-warga emas berkenaan.

Turut serta, Ketua Whip Majlis Perbandaran Sebarang Perai (MPSP), Johari Kassim dan Skuad Relawan Team Bertam.