Penyertaan saat akhir tuah buat Mohd. Ikhwan

Gambar : MARK JAMES

GEORGE TOWN – Hobi melukis yang disemai sejak usia muda merupakan faktor kemenangan dua wanita yang diumumkan sebagai Johan (bagi kategori masing-masing) Peraduan Lukisan Poskad : Kreativiti Anak Penang anjuran Sidang Redaksi Buletin Mutiara bermula 1 Ogos hingga 31 Disember 2014.

Mah Lis Sa, 27, yang merupakan Johan Kategori Terbuka dan Lim Hui Xin, 12, (Kategori 12 tahun dan Ke Bawah) tiba ke pejabat Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini untuk menerima hadiah kemenangan masing-masing.

Bagi Lis Sa yang merupakan kakitangan swasta, beliau terkejut dan tidak menyangka memenangi pertandingan berkaitan.

“Saya masih terkejut dan tidak menyangka menang kerana syaratsyarat peraduan adalah agak mencabar kreativiti saya,’’ katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Peraduan Lukisan Poskad : Kreativiti Anak Penang merupakan salah satu peraduan anjuran Sidang Redaksi Buletin Mutiara sebagai menghargai sokongan dan dorongan yang diberikan oleh para pembaca.

Hadiah ditawarkan masing-masing bagi setiap kategori adalah RM500 bagi Johan, RM300 (Naib Johan), RM150 (Ketiga) dan lima hadiah saguhati.

Lis Sa memberitahu, hobi melukis yang dipupuk sejak kecil mendorong beliau untuk menyertai pertandingan berkaitan dan juga lain-lain peraduan yang dianjurkan dari semasa ke semasa.

“Dari sekolah rendah, saya menyertai pertandingan seperti ini dan hasilnya tidak pernah menghampakan,’’ ujarnya yang juga gemar melancong.

Dalam pada itu, Hui Xin, pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Sum Sun yang agak pemalu perwatakannya berharap supaya Buletin Mutiara meneruskan penganjuran peraduan-peraduan sedemikian bagi menarik serta mengasah bakat penggiat-penggiat seni muda.

“Sebelum ini, saya memang banyak menyertai peraduan sebegini untuk meningkatkan daya kreativiti dan mendalami hobi saya,’’ jelasnya ditemani ibu bapanya ke sini.

Bagi penuntut Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd. Ikhwan Ibrahim yang memenangi tempat Ketiga Kategori Terbuka menyifatkan bahawa penyertaan beliau adalah pada saat-saat akhir.

“Pada mulanya, saya tidak berhasrat untuk masuk (sertai), namun, setelah difikirkan balik, saya ambil keputusan untuk cuba.

“Saya ambil masa dua hari untuk siapkan lukisan poskad saya bertemakan tokoh-tokoh dan pemimpin-pemimpin negeri Pulau Pinang,” katanya yang akan menggunakan hadiah dimenangi untuk tujuan pembelajaran.document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);