Perangi penjualan arak murah

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

BUTTERWORTH – Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), P. David Marshel dan M. Satees mengambil inisiatif khas menganjurkan forum ‘Arak Murah & Impaknya Kepada Rakyat’ sebagai usaha memerangi gejala penjualan minuman beralkohol itu yang dipercayai semakin berleluasa di sini baru-baru ini.

Menurut Satees, isu tersebut dipercayai masalah kritikal bukan sahaja di Seberang Perai, malah seluruh negara kerana ia membabitkan kesihatan konsumer.

“Arak yang dijual ini sangat murah iaitu berharga di antara RM2 hingga RM10 dan amat mudah dibeli oleh orang ramai.

“Kandungan alkohol di dalam minuman ini pula adalah sebanyak 42 peratus, sekaligus memudaratkan kesihatan pengguna dalam masa jangka panjang,” katanya pada penganjuran forum berkenaan di sini baru-baru ini.

Hadir merasmikan penganjuran tersebut adalah Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy.

Turut hadir, Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani. Tambah Satees, situasi yang lebih membimbangkan kini adalah pengambilan arak murah dalam kalangan remaja dan pelajar.

“Statistik menunjukkan di seluruh Seberang Perai sahaja terdapat lebih kurang 369 premis yang menjual arak murah dan
memudahkan orang ramai membelinya.

“Ini turut ditambah dengan sikap peniaga yang tidak bertanggungjawab menjual arak kepada pelajar dan remaja bawah umur sekaligus menyumbang kepada gejala sosial golongan muda,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Marshel turut meminta agar orang ramai dapat memberi sokongan kepada usaha tersebut demi kepentingan kesihatan pengguna dan mengurangkan gejala sosial dalam kalangan remaja.

“Forum pada hari ini merupakan siri pertama yang dijalankan di Seberang Perai dan ia akan terus dijalankan di setiap daerah di sini bertujuan memberi penerangan lebih menyeluruh kepada orang ramai.

“Justeru, saya meminta agar mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) terutamanya Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) agar dapat bekerjasama dengan kami (MPSP) untuk menghapuskan penjualan arak murah di negeri ini,” seru Marshel.