Tukang masak warga asing, PBT digesa dapat maklum balas

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menggesa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) agar segera mendapatkan maklumbalas para peniaga makanan berhubung tindakan menggaji tukang masak warga asing dalam penyediaan sajian tradisi tempatan.

Menurutnya, sebagai sebuah negeri yang mendapat jolokan syurga makanan serta diiktiraf badan antarabangsa sebagai antara penghasil makanan tersedap di dunia, adalah tidak patut bagi para peniaga tempatan menggaji pekerja asing untuk masak makanan- makanan berkenaan.

“Makanan tempatan jelas sekali akan ‘lari’ dari rasa yang sebenar sekiranya dimasak orang tempatan berbanding warga asing. Masakan tradisi seperti asam laksa, nasi kandar dan sebagainya haruslah dipelihara.

“Namun, saya melihat gejala ini tidak lagi begitu serius di Pulau Pinang. Bagaimanapun, minta PBT untuk pantau dan jika majikan masih menggunakan pekerja asing, mungkin kita (Kerajaan Negeri) akan pertimbangkan untuk tidak menyambung lesen mereka (pekerja asing) bagi tahun berikutnya,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif dan Setiausaha Perbandaran MPPP, Ir. Ang Aing Thye. Menurut Guan Eng, peraturan tersebut hanya akan diguna pakai bagi makanan penjaja dan kedai makan biasa memandangkan ianya adalah ‘trade mark’ negeri ini berbanding restoran besar yang lazimnya menggunakan tukang masak profesional dan berkelayakan sungguhpun mereka adalah warga asing.

“Tindakan ini bukanlah untuk menyusahkan para peniaga, tetapi ingin menjaga ketulenan, kualiti keenakan masakan Pulau Pinang bagi menjamin pertumbuhan sektor pelancongan negeri yang positif,’’ jelas beliau.

Dalam pada itu, tambahnya, bagi rekod terbaru penyewa kemudahan kompleks makanan MPPP dan MPSP, seramai 119 pekerja di lokasi-lokasi tersebut merupakan warga asing yang berkhidmat sebagai pembantu dapur dan jumlah terbabit tidak termasuk kedai-kedai persendirian.