Percepatkan langkah pengelasan semula tanah desa kepada bandar – ADUN Bukit Tambun

GEORGE TOWN – Prestasi hasil cukai kepada Kerajaan Negeri dalam tempoh tahun 2016 hingga 2020 adalah statik sekitar RM130 juta hingga RM136 juta sahaja, walhal anggaran belanjawan tahunan negeri secara defisit dikatakan terus meningkat.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik mencadangkan langkah pengelasan semula tanah desa kepada tanah bandar sebagaimana dicadangkan sebelum ini dipercepatkan; memandangkan prestasi kewangan Kerajaan Negeri dilihat bergantung pada hasil bukan cukai serta terimaan bukan cukai.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada hari ini (30 November 2021).

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri perlu mempercepatkan pengelasan tanah desa kepada tanah bandar dengan mengubah kawasan-kawasan desa yang pesat membangun atau sudah setaraf dengan bandar di bawah Seksyen 51(2)(a) Kanun Tanah Negara (KTN),” jelasnya yang berpendapat bahawa cadangan itu dijangka menjana hasil cukai tahunan.

Di samping itu, beliau turut memohon pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow menjelaskan status semasa mengenai usaha Kerajaan Negeri untuk meminda sempadan bandar asal di bawah Seksyen 11(ca) KTN dan mewujudkan bandar-bandar baharu di bawah Seksyen 11(d) KTN.

Sebelum pada itu, beliau turut memberitahu bahawa penurunan hasil bukan cukai dan terimaan bukan cukai yang diperoleh pada tahun 2020 hanya sekadar RM467.28 juta, dengan berlaku perbelanjan defisit peringkat Kerajaan Negeri sejumlah RM117 juta.

“Selepas mengambil kira defisit ini dan pindahan sejumlah RM150 juta ke Kumpulan Wang Pembangunan, baki terkumpul Akaun Hasil disatukan bagi tahun berakhir 2020 hanya tinggal RM 887.78 juta,” ujarnya.

Selain itu, Choon Aik turut mengesyorkan Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang supaya mempercepatkan pelaksanaan pelan pembangunan Taman Perindustrian Batu Kawan 2 dan Batu Kawan Timur.

Menurutnya lagi, dengan mempercepatkan pelan pembangunan kedua-dua kawasan tanah perindustrian seluas kira-kira 1,500 ekar tersebut membolehkan hasil jualan tanah ditingkatkan; di samping menjana premium pemberian hak milik dan pemberian milik bayaran khas kepada Kerajaan Negeri.

Dalam sesi perbahasan belanjawan sama, beliau turut berpendapat bahawa sudah tiba masa untuk Kerajaan Negeri mengadakan program lanjutan tempoh pajakan tanah industri yang akan tamat antara 10 dan 15 tahun akan datang terutamanya di Bayan Lepas, Perai dan Mak Mandin.

“Adakah kajian sudah mula dilakukan bagi menentukan jumlah premium tanah yang boleh dikenakan untuk pajakan baharu selama 60 tahun (di ketiga-tiga kawasan perindustrian negeri tersebut),” soalnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Choon Aik turut mengajak sekalian anggota Dewan supaya mengambil iktibar daripada kelemahan-kelemahan yang terjadi pada projek Jambatan Batu Kawan, Jambatan Tanjung Berembang serta kecacatan struktur Jalan Perusahaan Valdor sebelum ini.

“Sejak 5 tahun kebelakangan ini, kemajuan infrastruktur terutamanya jalan raya dan pengurusan lalu lintas jauh ketinggalan berbanding kepesatan perindustrian di Batu Kawan dan kawasan sekitarnya.

“Sehubungan itu, PDC perlu melahirkan kepimpinan pengurusan yang cekap, inovatif serta sentiasa bersedia dalam menghadapi perubahan dan cabaran semasa,” katanya sambil menyokong RUU Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2022 yang dibentangkan oleh Kon Yeow selalu Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB