FAP dapat suntikan RM4 juta

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) menerima suntikan dana sebanyak RM4 juta daripada Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bagi menghadapi saingan Liga Perdana musim 2015 di sini baru-baru ini.

Presiden FAP, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff berkata, selain suntikan dana, FAP bakal membariskan 10 muka baru dari pasukan Liga Super dan Liga Perdana bagi memperkuatkan pasukan tersebut.

“Lee Gil Hoon (pemain import juga penjaring 16 gol musim ini), kita (FAP) bakal kekalkan bersama sembilan pemain dari pasukan musim ini dan akan membawa masuk 10 pemain tempatan lain serta tiga pemain import untuk melengkapkan kuota bagi saingan musim depan.

“Pengumuman secara rasmi hanya akan dibuat selepas saingan Piala Malaysia 2014 tamat, manakala bagi kekosongan jawatan Ketua Jurulatih, kita (FAP) akan umumkan dalam masa terdekat,” katanya pada satu sidang media selepas selesai Majlis Penyampaian Dana RM4 juta di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan majlis, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang turut ditemani Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, barisan Exco Kerajaan Negeri dan Pengurus Besar PBAPP, Ir. Jaseni Maidinsa.

Mengulas lanjut, Jaseni menyatakan bahawa suntikan dana RM4 juta adalah salah satu pendorong semangat kepada kecemerlangan FAP tahun hadapan.

“Pihak PBAPP akan menambah lagi RM2 juta kepada FAP sekiranya mereka berjaya menjadi pasukan yang cemerlang pada Liga Perdana kelak dan juga bagi memastikan FAP mampu memberi fokus terbaik tanpa perlu memikirkan masalah kewangan,” ujar beliau.

Dalam pada itu Guan Eng menyeru pasukan yang terkenal dengan jolokan Harimau Kumbang itu supaya tidak menghampakan rakyat Pulau Pinang, terutamanya peminat setia bola sepak yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bagi.

“Jangan hampakan rakyat Pulau Pinang, kerana ini secara tidak langsung akan turut mengecewakan Kerajaan Negeri, hanya fokus pada perlawanan tanpa memikirkan soal dana,” ujar beliau.