Permohonan lesen gerai sementara pasar Ramadan MBPP dibuka sehingga 5 April ini

Admin

GEORGE TOWN – Permohonan bagi Lesen Gerai Sementara Bermusim (Pasar Ramadan) Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan mula dibuka mulai esok, 8 Mac sehingga 5 April 2019.

Ahli Majlis bagi MBPP, Ahmad Azrizal Tahir berkata, borang permohonan lengkap boleh dikemukakan ke Pejabat Bahagian Perlesenan, Dewan Bandaraya, Jalan Padang Kota Lama.

“Setiap permohonan mestilah lengkap beserta dengan surat kebenaran tuan tanah,  resit bayaran tempat letak kereta, pelan lokasi yang lengkap, salinan kad pengenalan pemohon atau peniaga, salinan Buku Suntikan Anti Typhoid setiap peniaga atau pemohon serta bilangan tapak jualan makanan dan barangan am yang diperlukan.

“Borang permohonan boleh diperolehi daripada tiga tempat iaitu di Pejabat Bahagian Perlesenan, Dewan Bandaraya, Jalan Padang Kota Lama; Pejabat MBPP Kompleks Pasar Awam Balik Pulau dan Kaunter Penerangan MBPP di Komtar,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pasar Malam, Pasar Pagi, Pasar Minggu dan Pasar Tani.

Hadir sama, rakan sejawatan, Aidi Akhbal Mohamed Zainon dan Azahari Aris.

Dalam pada itu, Ahmad Azrizal menegaskan bahawa penganjur dan peniaga yang mengemukakan permohonan lewat selepas tarikh tutup tidak akan diterima.

“Manakala tindakan penguatkuasaan akan dikenakan bagi mereka yang didapati meniaga atau menganjurkan bazar Ramadan tanpa membuat permohonan…dan sebaiknya mereka perlu merujuk kepada MBPP bagi khidmat nasihat berkaitan.

“Kami (MBPP) melarang penjualan bunga api, penggunaan bekas polisterin dalam kalangan peniaga bazar Ramadan dan tindakan berserta rampasan akan dikenakan kepada peniaga warga asing tanpa notis.

“Untuk makluman, peniaga juga haruslah menyediakan tong sampah serta tong untuk meletakkan stok ais yang bersesuaian bagi menjaga kebersihan serta kualiti makanan sepanjang waktu perniagaan,” jelasnya pada sidang media tengah hari tadi.

Ahmad Azrizal juga menyarankan kepada pihak penganjur untuk menggunakan khidmat Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi mengawal aliran trafik sepanjang tempoh bazar Ramadan terutamanya di Bayan Baru.

Permohonan ini juga boleh dibuat secara dalam talian melalui laman sesawang berikut http://elesen.mbpp.gov.my.

Teks & Gambar: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN