PANTAI JEREJAK – Draf Rancangan Struktur Negeri (RSN) Pulau Pinang 2040 (Kajian Semula) perlu dilihat sebagai kompas pembangunan negeri bagi memastikan pertumbuhan ekonomi, infrastruktur, perumahan, mobiliti dan kelestarian alam sekitar dapat bergerak secara seimbang.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RSN Pulau Pinang 2040 yang dilancarkan hari ini membuka ruang kepada rakyat serta semua pihak berkepentingan untuk bersama-sama menentukan hala tuju pembangunan negeri bagi tempoh 15 tahun akan datang.
“Perancangan pembangunan bukan sekadar tanggungjawab Kerajaan Negeri, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan pandangan rakyat, pihak berkepentingan serta kepakaran pelbagai pihak.
“Pandangan rakyat, pihak berkepentingan dan kepakaran pelbagai pihak amat penting supaya pembangunan yang dirancang bukan sahaja berasaskan data dan kajian, tetapi benar-benar mencerminkan keperluan serta aspirasi rakyat,” ujarnya pada Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2040 (Kajian Semula) di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Wan Nor Sakina Saad; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran dan Ketua Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa (PLANMALAYSIA), Datuk TPr. Dr. Alias Rameli.
Tambah Kon Yeow, draf RSN 2040 disediakan bagi menggantikan RSN Pulau Pinang 2030 yang telah diwartakan pada 24 Oktober 2019, selaras dengan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
“Dalam tempoh tersebut, Pulau Pinang berkembang pesat sebagai pusat ekonomi, perindustrian dan teknologi utama negara, namun perkembangan berkenaan turut membawa cabaran lebih kompleks.

“Cabaran yang kita hadapi termasuk perubahan iklim, banjir, tekanan terhadap tanah dan sumber air, keperluan perumahan mampu milik, kos sara hidup, mobiliti serta perubahan teknologi dan ekonomi digital.
“Justeru, RSN 2040 bukan sekadar mengemas kini sebuah dokumen perancangan, tetapi usaha menentukan bagaimana Pulau Pinang mahu berkembang dengan lebih tersusun, berdaya saing, mampan dan berdaya huni,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Kon Yeow memberitahu, antara tumpuan utama draf RSN 2040 ialah memastikan keseimbangan pembangunan Pulau dan Seberang Perai, penggunaan tanah secara optimum, pengukuhan pusat pertumbuhan, pembangunan berorientasikan transit, jaringan pengangkutan, perumahan, daya saing ekonomi serta perlindungan alam sekitar.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa projek pembangunan berskala besar seperti Pulau Silikon juga perlu dilihat secara menyeluruh supaya aspek pertumbuhan ekonomi, infrastruktur, pekerjaan, perumahan, mobiliti dan kelestarian alam sekitar dapat dirancang secara seimbang.
“Namun draf RSN 2040 bukan dokumen yang telah dimuktamadkan dan masih terbuka kepada pandangan serta cadangan semua pihak.
“Justeru saya menyeru kementerian dan jabatan, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta, institusi akademik, badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat supaya meneliti draf berkenaan dan mengemukakan pandangan secara konstruktif.
“Kalau ada apa-apa rancangan yang tidak dapat dimasukkan, apabila ingin dilaksanakan, ia akan menimbulkan tanda tanya daripada pihak berkepentingan, termasuk media yang akan bertanya mengapa cadangan ini tidak berada dalam RSN ataupun rancangan tempatan.
“Jadi, penting untuk kita memasukkan apa juga cadangan di peringkat jabatan masing-masing sekiranya kelulusan sudah diberikan oleh kementerian untuk melaksanakan projek-projek tertentu, khususnya projek-projek yang besar,” ulasnya lanjut.
Beliau dalam pada itu menyatakan bahawa semua pandangan yang diterima melalui proses penyertaan awam akan diteliti dan menjadi input penting sebelum dokumen tersebut dimuktamadkan untuk proses kelulusan dan pewartaan.
Ketika ditanya mengenai jambatan ketiga/terowong, Kon Yeow memberitahu secara indikatif bahawa ianya masih dalam perancangan masa depan.
“Sebab perjanjian masih sah, kita sudah bagi tawaran kepada syarikat, bila dilaksanakan, itu perlu mengikut jadual.
“Misalnya, banyak tempat-tempat pembangunan atau zon-zon pembangunan diletakkan secara indikatif saja.
“Bilakah ianya akan dibangunkan? Kadang kala tertakluk kepada kerajaan, kadang kala kepada sektor swasta yang merancang pembangunan atau pembangunan tanah-tanah milikan mereka berdasarkan kepada zon-zon kawalan pembangunan,” tambah ADUN Padang Kota itu lagi.
Menyentuh mengenai pembangunan di Pulau Jerejak pula, Kon Yeow memaklumkan bahawa pemaju hanya dibenarkan memajukan 80 ekar sahaja.
“Yang lain masih dizonkan sebagai hutan simpanan kekal, kalau ada apa-apa projek utiliti infrastruktur, masih boleh ditimbangkan walaupun dalam hutan simpanan, tetapi bukan pembangunan selain itu.
“Apa yang diumumkan itu melibatkan tanah-tanah milikan swasta, bukan melibatkan hutan simpan kekal di atas Pulau Jerejak,” jelasnya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT