Smart Green Penang pantau 14,000 pokok guna AI, satelit

dsc 8431

MAJLIS Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan data satelit menerusi sistem Smart Green Penang bagi memantau tahap kesihatan serta keadaan kira-kira 14,000 pokok di seluruh bahagian pulau.

dsc 8429

Penolong Arkitek Landskap, Jabatan Landskap MBPP, MUHAMMAD ZULFIQAR AHMAD SHAHRAL BADRI berkata, sistem berkenaan berfungsi sebagai pangkalan data inventori pokok yang menyeluruh, selain membantu MBPP mengenal pasti pokok yang berpotensi mengancam keselamatan orang awam.

Bercakap dalam satu temu bual bersama wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI, beliau menjelaskan bahawa sistem tersebut mampu mengesan keadaan semasa pokok serta memberikan amaran awal sekiranya sesebuah pokok dikenal pasti berpotensi mendatangkan bahaya.

“Sistem ini membolehkan kami mendapatkan maklumat mengenai kesihatan dan keadaan pokok.

“Berdasarkan data yang dikumpul, kami dapat merancang dan melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan yang diperlukan.

“Jika sistem mengesan pokok yang berisiko, ia akan mengeluarkan isyarat amaran.

“Pegawai kami kemudiannya akan menjalankan pemeriksaan di tapak sebelum memutuskan tindakan paling sesuai, sama ada mencantas, menyelenggara atau menebang jika perlu,” ujarnya ketika ditemui bersama pasukannya yang sedang menjalankan kerja pemangkasan pokok berhampiran Jalan S.A. Abdullah Bukhary di sini baru-baru ini.

Muhammad Zulfiqar, yang telah berkhidmat di Unit Arboris selama lapan tahun berkata, sistem berkenaan turut menyepadukan teknologi satelit bagi mengumpul dan menganalisis maklumat berkaitan setiap pokok.

Namun, di sebalik kecanggihan teknologi tersebut, pihak jabatan turut bergantung kepada aduan orang awam sebagai mekanisme pemantauan tambahan.

“Apabila kami menerima aduan daripada orang ramai, pegawai kami akan memeriksa pokok yang dinyatakan dan menilai keadaannya sebelum menentukan tindakan lanjut.

“Langkah ini melengkapkan pemantauan sistem dan membantu kami bertindak lebih berkesan terhadap risiko yang ada,” jelas beliau.

Tambah Muhammad Zulfiqar, walaupun kira-kira 14,000 pokok telah didaftarkan dalam sistem berkenaan, hanya sebilangan kecil dikategorikan sebagai berisiko tinggi.

“Buat masa ini, kami menganggarkan antara 20 hingga 30 pokok dianggap berisiko tinggi.

“Kes-kes ini diberikan keutamaan dan kami menyasarkan untuk mengambil tindakan dalam tempoh sebulan selepas amaran dikeluarkan oleh sistem,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kebanyakan pokok berisiko tinggi yang dikenal pasti berusia lebih daripada 150 tahun dan diletakkan di bawah pemantauan serta penyelenggaraan berkala bagi menjamin keselamatan.

“Pokok-pokok ini terletak di pelbagai kawasan di bahagian pulau.

“Unit kami menjalankan pemeriksaan berkala, manakala pasukan dalaman (in-house) melaksanakan kerja penyelenggaraan apabila perlu.

“Keutamaan kami adalah memastikan pokok-pokok ini kekal selamat dan tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya atau orang ramai,” tambahnya.

dsc 8417

Sementara itu, seorang lagi kakitangan Unit Arboris, ADIDARMA MALIK, yang menyertai Jabatan Landskap MBPP pada 2019 selepas berkhidmat di sektor swasta berkata, pengalamannya selama tujuh tahun telah memberikan pendedahan luas dalam mengendalikan aduan awam serta menguruskan operasi penyelenggaraan pokok.

Beliau memaklumkan bahawa operasi penyelenggaraan dan penebangan pokok oleh jabatan berkenaan dibahagikan kepada tiga zon, dengan pasukan khusus ditugaskan di setiap kawasan.

“Sepanjang tempoh perkhidmatan, saya bekerjasama rapat dengan rakan sekerja bagi memastikan isu berkaitan pokok ditangani dengan cekap demi keselamatan dan keselesaan orang ramai.

“Antara cabaran terbesar yang dihadapi oleh pasukan kami adalah bertindak pantas terhadap insiden pokok tumbang, terutamanya ketika hujan lebat dan ribut.

“Situasi sedemikian sering memerlukan penyelarasan bersama agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak polis, dengan kru bertugas sepanjang masa bagi membersihkan kawasan terjejas dan memulihkan laluan secepat mungkin,” ujarnya yang turut pernah bekerja sepanjang malam bagi mengendalikan kes kecemasan membabitkan pokok tumbang.

Mengenai usaha pengurusan pokok MBPP, jelas Adidarma, penggunaan sistem inventori dan pemantauan pokok secara digital merupakan satu langkah yang baik kerana ia membantu pegawai menilai keadaan serta usia pokok dengan lebih berkesan, di samping memastikan kehijauan bandar raya terus terpelihara.