Permohonan sewaan gerai MBPP bermula esok

Admin
img 1197

PADANG KOTA – Permohonan sewaan gerai niaga di pasar, kompleks dan tapak penjaja milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan mula dibuka esok hingga 30 Jun secara dalam talian.

Menurut Ahli Majlis MBPP, Tan Soo Siang, bagi sesi ketiga kali ini, bilangan dibuka adalah 22 lokasi dengan jumlah kekosongan sebanyak 93 gerai.

img 1198

“Permohonan boleh dibuat di ulesen.mbpp.gov.my, pemohon yang tidak berdaftar dalam tempoh permohonan dibuka tidak layak bagi sesi temuduga.

“Bagi sesi lepas, berikut adalah perincian bagi sesi temuduga, permohonan telah diterima adalah 145, tidak hadir 68, jumlah berjaya diperuntukkan 28 (36.36 peratus) manakala tidak berjaya, 49 (63.64 peratus).

“Antara punca tidak berjaya adalah satu tapak yang terlalu ramai pemohon (hotspot) jadi ia menyumbang kepada statistik tersebut,” ujarnya dalam satu sidang media di Jabatan Pelesenan MBPP, Jalan Padang Kota Lama di sini pagi tadi.

Soo Siang dalam pada itu menggariskan beberapa perkara penting ketika temuduga dijalankan seperti etika pakaian, talian internet, lokasi yang tenang dan menepati waktu.

“Majlis juga sedang fokus akan penempatan semula penjaja sedia ada di tepi jalan (tagging) ke dalam gerai-gerai Majlis.

“Ini adalah usaha yang berterusan dan sedang digiatkan, oleh itu penjaja sedia ada adalah dipelawa untuk membuat permohonan.  

“Setakat tahun ini seramai 65 penjaja telah berbuat demikian, ini juga sebahagian usaha terhadap kurang 2,000 lagi penjaja tidak sah yang ada,” katanya lagi.

Teka & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI