Peroleh kad OKU, harap dapat kerja sesuai – Ramli

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – “Hari ini, saya bersyukur kerana akhirnya saya berjaya memperoleh kad OKU (orang kurang upaya) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” luah Ramli Md. Ismail, 62, yang mengalami kecacatan fizikal pada tangan kanan ekoran terlibat dalam kejadian kemalangan jalan raya September 2014.

Beliau berkata, ‘perjuangan’ beliau untuk memperoleh kad berkaitan adalah hasil bantuan rakan-rakannya yang turut menggunakan laman sosial berhubung kes rayuannya.

“Saya ingin rakamkan ucapan terima kasih kepada JKM kerana akhirnya mereka (JKM) mengeluarkan kad ini kepada saya.

“Walaupun saya sendiri tidak tahu akan masa depan saya, sekurangkurangnya dengan kad ini, ia dapat memudahkan sebahagian urusan kelak,” katanya ketika ditemui di Kompleks Masyarakat Penyayang selepas selesai Majlis Penyerahan Kad OKU kepadanya di sini baru-baru ini.

Dalam kejadian September tahun lalu di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu (berhampiran Jambatan Pulau Pinang menuju ke George Town) di sini, Ramli yang merupakan pemandu bas kilang turun dari kenderaan dipandu bagi memeriksa kerosakan yang dialami.

Sedang asyik menjalankan pemeriksaan, beliau secara tiba-tiba didatangi sebuah bas kilang dari arah belakang lalu melanggarnya.

Ekoran kejadian itu, tangan kanan Ramli hilang upaya dipercayai kesan daripada urat terputus, tangan separa hancur
sehingga menyebabkan tangannya tidak boleh digenggam.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang, Said Siduk ketika ditanya mengenai kelewatan mengeluarkan kad OKU kepada Ramli menyatakan bahawa ia adalah bukan disengajakan.

“JKM sebenarnya tidak mempunyai masalah untuk mengeluarkan kad berkenaan, paling cepat, satu hari pun kita (JKM) mampu untuk isukan.

“Sebelum ini, apabila meneliti laporan perubatan, seolah-olah ia tidak menyatakan sebarang kecederaan serius sehingga menyebabkan perkara terbabit ditangguhkan.

“Sekiranya laporan perubatan ‘kukuh’ sebagaimana yang dikemukakan kemudian, JKM langsung tiada masalah untuk mengeluarkan ia (kad) pada kadar segera,” jelas Said.

Sebagai makluman, Ramli yang menetap di Pangsapuri Mutiara Idaman 1, Jelutong menyeru mana-mana pihak yang mampu menawarkan pekerjaan kepada beliau memandangkan pekerjaan kini tidak lagi ‘sesuai’ dengan keupayaannya.

Bagi pihak yang ingin membantu terutamanya menawarkan pekerjaan kepada Ramli, hubunginya pada talian 017- 584 5062.