Pesakit buah pinggang bertambah membimbangkan – Exco

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

PULAU BETONG – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, Kerajaan Negeri turut bimbang dengan jumlah pesakit buah pinggang yang kian meningkat saban tahun, sehingga angka 31,637 orang direkodkan pada penghujung bulan Disember tahun lepas.

Justeru, beliau mengulangi hasrat Kerajaan Negeri untuk menubuhkan Pusat Dialisis CAT di semua daerah, sebagaimana yang telahpun dibuka pada peringkat Daerah Barat Daya di Balik Pulau.

“Kerajaan Negeri turut menyedari bahawa Pusat Dialisis CAT ini sangat diperlukan, kerana kita bimbang dengan bilangan pesakit buah pinggang saban tahun meningkat.

“Bukan setakat itu sahaja, Program Saringan Mamogram Percuma Kerajaan Negeri, Mammo Penang untuk semua pengundi wanita berdaftar berusia 35 tahun dan ke atas di negeri ini, kerana kita sedar bahawa satu daripada setiap 20 wanita di negara ini turut berisiko untuk mengidapi kanser payudara,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya kepada wartawan.

Afif berkata demikian pada Hari Bersama Pesakit 2015 Peringkat Negeri di Pusat Dialisis CAT Pulau Pinang, sempena Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia di sini baru-baru ini.

Tiga Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK), Jamaluddin Said (Bayan Lepas), Halil Sabri Hamid (Teluk Bahang) dan Mohd. Tuah Ismail (Pulau Betong) dan Dato’ Abdul Halim Hussain (bekas Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ) turut hadir pada majlis tersebut.

Difahamkan, kira-kira 6,000 pesakit direkodkan memulakan dialisis pada saban tahun di negara. Bagi tiap-tiap sejuta rakyat Malaysia, dianggarkan 200 daripadanya merupakan pesakit buah pinggang, manakala, 1,065 pesakit lain telahpun menjalani rawatan dialisis buah pinggang, diabetes, tekanan darah tinggi dan obesiti.

}