PR1MA, wajar liputi kepentingan P. Pinang – Exco

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Masalah rumah mampu milik yang didakwa tidak mencukupi di Pulau Pinang termasuk di kawasan Parlimen Permatang Pauh sebenarnya disebabkan keengganan Kerajaan Pusat sejak tahun 2008 untuk membina walaupun seunit kediaman di bawah Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) untuk rakyat di negeri ini.

Malah, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, kenyataan mengelirukan oleh Menteri
Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan pada musim Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh baru-baru ini berkemungkinan untuk menutup kelemahan agensi-agensi Kerajaan Pusat, seperti JKP Sdn. Bhd. (JKPSB) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) yang dibuktikan membina rumah mewah di atas tanah untuk tujuan perumahan awam di negeri ini.

“Sehingga hari ini, tidak ada satu pun permohonan secara rasmi dikemukakan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri untuk tujuan sedemikian (pembinaaan rumah PR1MA).

“Apabila diteliti, permohonan oleh agensiagensi Persekutuan tersebut sendiri, didapati bahawa projek yang dicadangkan adalah untuk seunit perumahan yang mencecah RM1.8 juta di bahagian pulau dan RM800,000 di bahagian Seberang Perai.

“Apakah harga RM1.8 juta dan RM800,000 di bahagian pulau dan Seberang (Seberang Perai) ini, adalah merupakan perumahan mampu milik ala BN (Barisan Nasional)” tanya Jagdeep kepada Abdul Rahman.

Menurut Jagdeep, sepatutnya peruntukan RM1.3 bilion dana awam untuk membina 80,000 unit PR1MA wajar turut meliputi
kepentingan Pulau Pinang, memandangkan rakyat di negeri ini merupakan menyumbang cukai ketiga tertinggi kepada Kerajaan Pusat.

“Adalah jelas bahawa BN telah gagal sama sekali dan menganak-tirikan negeri Pulau Pinang berkenaan penyediaan perumahan mampu milik di negeri Pulau Pinang,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat dalam kenyataan bertulisnya baru-baru ini.

Sebelum itu, beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri sudahpun merancang untuk menyediakan sebanyak 22,512 unit perumahan mampu milik untuk warga Pulau Pinang di semua lima daerah di negeri ini.

Malahan, daripada kesemua rancangan perumahan tersebut, katanya, tiga projek telahpun dimula (commencement-of-work),
iaitu, Fasa 1 Bandar Cassia di Seberang Perai, Teluk Kumbar dan S.P. Chelliah di sebelah Pulau, masing-masing pada Disember 2013, Julai 2014 dan Disember 2014.

“Ketiga-tiga projek itu masing-masing dijangkakan disiap pada tahun 2016, 2017 dan 2018.