Persidangan Kebangsaan Pendidikan Tamil di Malaysia, 11 resolusi berjaya dicapai

Admin

SEBERANG JAYA – Sebanyak 11 resolusi mengenai pemerkasaan pendidikan Tamil di negara ini berjaya dicapai pada Persidangan Kebangsaan Pendidikan Tamil di Malaysia yang berlangsung selama dua hari dekat Hotel The Light di sini.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, perkara paling penting mengenai resolusi tersebut adalah untuk melantik lebih ramai pegawai berketurunan India di semua peringkat termasuk di Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan-Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat-Pejabat Pendidikan Daerah yang akan mewakili dan memberi tumpuan kepada keperluan serta kepentingan pendidikan Tamil di negara ini.

Prof. Dr. P. Ramasamy.

“Justeru, saya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Dr. Mazlee Malik untuk menyampaikan resolusi-resolusi yang telah dicapai ini.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam persidangan ini dan memberikan pelbagai idea bagi meningkatkan mutu pendidikan Tamil di Malaysia,” katanya yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan dan Sains, Teknologi & Inovasi pada majlis penutupan persidangan berkaitan petang tadi.

Difahamkan, antara resolusi lain yang diluluskan secara sebulat suara tersebut adalah untuk mewujudkan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk India yang tinggi, mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Pendidikan dengan melantik wakil rakyat berketurunan India serta menempatkan lebih ramai pegawai berketurunan India di peringkat kementerian.

Bagi menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0, perwakilan turut mencadangkan agar pendidikan Tamil harus menumpukan kepada pembentukan kurikulum yang mampu melahirkan pelajar-pelajar berkemahiran serta nilai modal insan berprestasi tinggi pada masa hadapan dengan memperkenalkan pendekatan baru merangkumi pendidikan formal dan tidak formal melalui penggunaan aplikasi teknologi terkini.

Selain itu, sejajar dengan manifesto Pakatan Harapan, resolusi berkaitan peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi menubuhkan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tamil dan mewujudkan tadika Tamil di semua SJKT dengan menyalurkan bantuan penuh tahunan selain pengagihan peruntukan kepada SJKT dilaksanakan dengan cara yang telus turut disuarakan oleh perwakilan.

Tiga lagi resolusi lain adalah pengajaran kelas bahasa Tamil di sekolah kebangsaan (rendah dan menengah) diperluas, menyediakan guru-guru terlatih yang mencukupi bagi SJKT dan penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan Pembangunan Pendidikan Tamil di peringkat Pusat.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS