Pertandingan Kewartawanan Hijau Pulau Pinang kembali!

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri dengan kerjasama Penang Green Council ( PGC ) menganjurkan Pertandingan Kewartawanan Hijau Pulau Pinang (Penang Green Journalism) dan Pertandingan Video ‘Green Penang, Green My Life’ bagi menerapkan teras dan nilai-nilai Pulau Pinang Bersih dan Hijau.

Pertandingan Kewartawanan Hijau Pulau Pinang terbahagi kepada dua kategori iaitu Kategori Laporan Berita dan Kategori Rencana. Bagi Kategori Laporan Berita, hadiah bernilai RM1,000 bagi setiap bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Tamil dan Bahasa Cina. Manakala bagi Kategori Rencana, sejumlah RM1,200 bagi setiap bahasa turut menjadi rebutan.

Bagi pertandingan video, hadiah bernilai RM2,000 ditawarkan bagi setiap kategori iaitu kategori Rakaman Video Terbaik (Best Production), kategori Rakaman Video Inspirasi Terbaik (Most Inspiring Video) dan kategori Penata Bunyi dan Musik Terbaik (Best Sound and Music).

Pertandingan yang turut mendapat kerjasama Kolej Han Chiang, Kolej Damansara Utama (KDU) dan Two Studios menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM32,000 untuk dimenangi.

Pertandingan tersebut terbuka kepada semua wartawan professional dan tarikh tutup adalah pada 30 April 2012.

Sebarang maklumat lanjut dan syarat-syarat pertandingan, sila layari laman sesawang http://greenstate.penang.gov.my atau http://www.pgc.com.my atau hubungi talian 04 – 650 5112.