Pusat Latihan PFFA bakal kembang bakat tempatan

Admin

Oleh : ZULIANA AZIZ

KETUA Menteri dan Presiden PFFA, Krishnan Chelliah (dua dari kanan) bersamasama barisan pentadbiran lain pada upacara perasmian pembukaan Pusat Latihan PFFA di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri dan Presiden PFFA, Krishnan Chelliah (dua dari kanan) bersama-sama
barisan pentadbiran lain pada upacara perasmian pembukaan Pusat Latihan PFFA di sini baru-baru ini.

BATU MAUNG – Selaras dengan perkembangan ekonomi dan pelaburan, sebuah pusat latihan, Pusat Latihan Penang Freight Forwarders Association (PFFA) Training Centre bertujuan memberi latihan yang proaktif dan intensif berkenaan sistem penghantaran secara global telah dilancarkan di sini baru-baru ini.

Penubuhan Pusat Latihan PFFA adalah satu langkah signifikan untuk mencerminkan peranan Pulau Pinang di dalam industri logistik. Malah, pusat latihan tersebut bakal menjadi ‘rumah api’ bagi kawasan utara Malaysia, menyediakan kos yang efektif dan kursus berkaitan industri kepada rakyat negara ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika menyempurnakan majlis perasmian Pusat Latihan PFFA di sini baru-baru ini berkata, melalui geran yang telah diberikan oleh Malaysian Investment Development Authority (MIDA), PFFA secara agresif telah memulakan latihan dan pendidikan untuk ahli-ahlinya.

“Oleh kerana kejayaan program yang telah dilancarkan dalam tempoh dua tahun lalu, PFFA telah mengambil satu langkah ke hadapan untuk membeli dan menguruskan sendiri pusat latihan mereka yang berharga RM300,000 ini,” jelas beliau.

Dalam pada itu, tambah Guan Eng, PFFA/FMFF (Federation of Malaysian Freight Forwarders) turut bekerjasama dengan Malaysian University of Science and Technology (MUST), Universiti Tun Abdul Razak (UTAR) dan Institut Teknologi Butterworth bagi meningkatkan kualiti program mereka.

“Pendidikan adalah hak setiap warga Malaysia. Memandangkan Pulau Pinang tidak mempunyai sumber alam semulajadi dan juga sumber alternatif yang lain, kita hanya mempunyai kepakaran tenaga kerja mahir. Justeru, hanya melalui latihan dan pengekalan sahaja yang mampu menggilap kepakaran baru dan membolehkan negeri ini lebih maju serta makmur dengan pengembangan bakat sedia ada di sini,’’ ujarnya.

Katanya lagi, tanpa hubungan yang kuat di antara industri logistik dan industri pembuatan, Pulau Pinang tidak akan mampu untuk mengekalkan perkembangan ekonominya sejak 40 tahun lalu.

“Kerajaan Negeri lazimnya mengakui peranan yang dibawakan oleh industri logistik dan kami berharap industri ini akan terus berperanan dalam membantu industri pembuatan untuk terus berkembang pada masa akan datang,” katanya.