Pertukangan besi Pekan Darat perusahaan warisan terun-temurun

Admin

PERTUKANGAN besi di Pekan Darat dekat Teluk Air Tawar sememangnya unik kerana semua pengusaha mewarisi kepandaian dan ilmu pertukangan tersebut secara warisan turun-temurun daripada keluarga masing-masing.

MOHD. ZURIADI YAHYA, 44, merupakan salah seorang tukang besi atau pandai besi yang masih meneruskan perniagaan tersebut yang diwarisi daripada ayahnya, Yahya Saad sejak tahun 1995 di Bengkel Pandai Besi Pekan Darat.

Baru-baru ini, wartawan Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR berkesempatan menemu bual beliau untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai perusahaan warisan tersebut yang turut mendapat Anugerah Cemerlang Warisan 100 Tahun Pulau Pinang daripada Kerajaan Negeri.

Mohd. Zuriadi Yahya menunjukkan sijil Anugerah Cemerlang Warisan 100 Tahun yang diterima daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

Salasilah

Menurut Mohd. Zuriadi, sejarah perusahaan pembuatan pelbagai peralatan daripada besi telah dimulakan sejak 1841 oleh penduduk-penduduk di Pekan Darat Seberang Perai Utara (SPU) termasuk nenek moyangnya.

“Ketika itu, Seberang Perai masih merupakan wilayah di bawah Kesultanan Kedah yang mana tukang-tukang besi di Pekan Darat ditugaskan untuk membuatsenjata seperti peluru meriam sebagai peralatan kelengkapan perang.

“Boleh dikatakan bahawa tukangtukang besi di Pekan Darat berperanan menyediakan peralatan senjata berasaskan besi semasa Peperangan Siam Kedah 1821 hingga1842.

“Setelah perang tamat, tukang-tukang besi di sini masih meneruskan perusahaan mereka tetapi mula beralih menghasilkan peralatan untuk pertanian memandangkan Seberang Perai mula beralih kepada aktiviti pertanian.

“Memandangkan banyak tanah-tanah sawah mula dibuka di Seberang Perai khususnya di SPU pada waktu itu secara tidak langsung telah meningkatkan permintaan terhadap peralatan berasaskan besi seperti parang, cangkul, pisau, tajak, sisir kacip dan sebagainya.

“Pembuatan senjata seperti keris, pedang dan sebagainya masih lagi diusahakan tetapi mengikut permintaan oleh para pelanggan sahaja,” katanya memulakan bicara.

Proses menempa besi untuk menghasilkan kacip pinang.

Mohd. Zuriadi berkata, kebanyakan pandai besi di Pekan Darat mengusahakan perusahaan tersebut secara berpusat di beberapa buah bengkel yang didirikan di atas tapak milik Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Kini MARA telah serahkan tanah ini kepada Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dan masih dikhususkan untuk menempatkan perusahaan besi tanpa dikenakan sebarang bayaran sewa.

“Dulu terdapat kira-kira 40 tukang besi yang menjalankan perusahaan di sini (Pekan Darat), namun kini jumlahnyasemakin berkurang dan hanya tinggal empat orang yang masih meneruskan perniagaan warisan ini.

“Keadaan ini didorong oleh faktor perusahaan yang semakin merosot kerana permintaan terhadap peralatan besi semakin menurun ekoran arus pemodenan yang mana bidang pertanian kini banyak menggunakan jentera-jentera moden.

“Sekarang, hanya produk tertentu sahaja seperti pisau, parang menebas, pisau toreh getah dan kacip antara yang masih mendapat permintaan tinggi terutamanya oleh pelanggan-pelanggan dari Baling, Sik, Pendang dan beberapa lagi daerah di negeri Kedah,” jelasnya.

Produk utama

Bercerita lanjut, Mohd. Zuriadi yang merupakan generasi ketujuh daripada salasilah keluarganya menyatakan bahawa beliau masih meneruskan warisan pandai besi dengan menghasilkan dua produk utama iaitu pisau toreh getah dan kacip pinang.

Menurut beliau, kedua-dua produk berasaskan besi tersebut diusahakan sejak zaman datuknya lagi yang mana pada ketika itu golongan petani mula beralih kepada sektor pertanian.

Kacip pinang yang dihasilkan sejak dari zaman nenek moyang.

“Sejak dari mula ambil alih perniagaan ini semasa berumur 16 tahun, peralatan seperti pisau toreh getah dan kacip pinang memang sentiasa ada permintaan terutamanya dari Kedah dan Perak.

“Kacip pinang contohnya, sebulan minimum saya menerima tempahan adalah sebanyak 400 bilah kerana saya difahamkan ada pemborong yang mengeksport peralatan ini sehingga ke Vietnam.

 

Pisau toreh getah yang dihasilkan.

“Memandangkan ketika ini saya berdepan masalah kekurangan pekerja ekoran kurangnya minat dalam kalangan orang muda, saya hanya mengambil tempahan daripada pelanggan yang memesan dalam kuantiti yang banyak sahaja.

“Tambahan pula, penghasilan kacip pinang adalah sedikit rumit terutamanya untuk menghasilkan bahagian mata kerana perlu menggunakan besi mentah yang sangat keras.

“Bekalan besi mentah ini biasanya saya diperoleh daripada kedai besi sekitar sini dan ia kemudian diketuk mengikut bentuk yang diperlukan,” kata Zuriadi yang mewarisi ilmu pertukangan besi daripada arwah ayahnya.

Difahamkan, untuk menghasilkan seunit kacip pinang mengambil masa kirakira 30 minit dan perlu melalui beberapa proses terutamanya bagi bahagian mata kacip tersebut.

Proses pembuatan bahagian mata kacip pinang dimulakan dengan kerja menempa yang mana besi mentah akan dibakar di atas api melebihi suhu 1,000 darjah Celsius selama kira-kira dua minit.

Kemudiannya, mata kacip pinang akan dibentuk menggunakan mesin ketuk besi serta kaedah manual (tukul besi) dan proses tersebut perlu diulang sebanyak 12 kali sebelum kacip pinang sempurna dapat dihasilkan.

Bagi pisau toreh getah pula menurut Zuriadi, walaupun kos seunit lebih rendah berbanding kacip pinang, namun proses pembuatannya memerlukan ketelitian terutamanya pada bahagian mata pisau.

“Saya gunakan dua jenis besi untuk hasilkan pisau toreh getah iaitu besi biasa untuk bahagian badan pisau manakala besi ‘baja’ iaitu besi yang mengandungi karbon tinggi di bahagian mata pisau bagi memastikan ia keras serta tahan lasak.

“Kos menghasilkan sebilah pisau getah juga adalah lebih murah dan proses penghasilannya lebih cepat berbanding kacip… jadi satu hari saya mampu hasilkan sebanyak 60 bilah.

“Oleh itu, setiap bulan saya mampu hasilkan minimum 1,200 bilah pisau toreh getah,” katanya sambil menambah bahawa sebilah pisau toreh getah dijual pada harga antara RM9 hingga RM11 seunit mengikut saiz.

Cabaran dan harapan

Cabaran dalam perniagaan pembuatan besi adalah untuk memenuhi permintaan pelanggan kerana setiap bulan berlaku permintaan melebihi penawaran terutamanya apabila musim harga getah meningkat.

Namun Mohd. Zuriadi menyatakan bahawa pengeluaran pisau toreh getah sukar untuk ditingkatkan kerana kekurangan tenaga kerja selain peralatan yang digunakan masih secara tradisional.

Mesin pengetuk besi yang digunakan untuk menghasilkan kacip dan pisau toreh getah.

“Sekarang sudah tidak ramai orang yang berminat untuk bekerja dalam bidang ini terutamanya golongan muda… mungkin disebabkan kerja ini memerlukan mereka bekerja dalam suasana kotor dan panas.

“Sebelum ini, ada juga pelajarpelajar dari institusi kemahiran dihantar ke sini untuk menjalani latihan tetapi selepas berlaku beberapa insiden yang tidak diingini membabitkan aspek keselamatan, kita sudah hentikan pengambilan pelatih sampai sekarang,” jelasnya.

Ditanya mengapa beliau masih berminat meneruskan perniagaan warisan tersebut, Mohd. Zuriadimemberitahu bahawa pekerjaan tukang besi tidak memberikan sebarang tekanan selain bebas menentukan sendiri masa untuk menjalankan aktiviti perniagaan.

“Keduanya, saya mahu mengekalkan perniagaan keluarga yang dijalankan sejak zaman nenek moyang dan kalua boleh saya tidak mahu warisan ini dilupakan begitu sahaja.

“Masalahnya, buat masa sekarang saya masih tidak nampak kecenderungan anak-anak terhadap pertukangan besitetapi kalau boleh saya mahu mereka mewarisi perniagaan ini pada masa akan datang,” ujarnya yang merupakan ayah kepada tiga cahaya mata.

Bercakap mengenai harapan, Mohd. Zuriadi berharap agar kerajaan memberi perhatian kepada sektor ini supaya ia tidak lapuk ditelan zaman.

“Saya berharap agar kerajaan boleh pertimbangkan pemberian geran kepada peniaga-peniaga pandai besi terutamanya dalam bentuk peralatan seperti mesin ketuk yang lebih moden.

“Selain lebih memudahkan, penggunaan mesin yang lebih moden ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kuantiti penghasilan produk tanpa perlu menggunakan ramai tenaga kerja,” katanya menutup bicara.