MPKK Kampung Melayu tekad beri khidmat terbaik kepada komuniti

Admin

MAJLIS Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Melayu dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam baru-baru ini dinobatkan sebagai johan bagi Anugerah MPKK Terbaik Negeri Pulau Pinang Tahun 2022/2023.

Kemenangan tersebut melayakkan MPKK Kampung Melayu menerima geran bernilai RM30,000 berserta trofi daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang disampaikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Abdul Aziz Bukhary.

Pengerusinya, ABDUL AZIZ BUKHARI, 55, menyatakan bahawa Kerjasama erat dengan pelbagai pihak menjadi faktor melayakkan MPKK Kampung Melayu dinobatkan sebagai (MPKK) terbaik baru-baru ini.

Malah menurut beliau, kejayaan tersebut juga tidak mungkin dilakar tanpa adanya komitmen dan dedikasi daripada kesemua ahli jawatankuasa (AJK) MPKK Kampung Melayu itu sendiri.

“Istimewa MPKK Kampung Melayu adalah kami mempunyai lebih bilangan ahli iaitu 20 orang berbanding syarat wajib ditetapkan kerajaan seramai 15 orang. Lima ahli ini merupakan AJK tambahan yang mana mereka memberikan perkhidmatan secara sukarela.

“Selain itu, kami juga menjalinkan kerjasama erat dan sering menerima pelbagai bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi-agensi kerajaan serta orang perseorangan.

“Apa yang penting adalah kami mahu berikan perkhidmatan yang terbaik untuk komuniti di sini,” katanya kepada wartawan Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, SITI NURATIKAH RAHMAT ketika ditemui sempena wawancara khas pada 16 Februari lalu.

MPKK Kampung Melayu ketika dinobatkan sebagai MPKK Terbaik Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2022/2023 pada 10 Februari lalu.

Tambah Abdul Aziz, bagi memastikan keberkesanan sesuatu program yang dijalankan, MPKK Kampung Melayu turut mementingkan hubungan baik dengan pelbagai pihak termasuk mereka yang berlainan pegangan politik.

“Kami mempunyai hubungan baik dengan semua parti politik. Ini bermakna sumbangan yang kami berikan adalah membabitkan semua yang memerlukan tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan parti politik.

“Kami juga sedar bahawa keharmonian kaum amat penting, jadi setiap kali ada perayaan, kami akan diadakan majlis sambutan sama ada Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Selaras misi ‘kampung berkebajikan’

Sebagai MPKK yang boleh dikatakan paling aktif di kawasan Air Itam, MPKK Kampung Melayu telah menjalankan pelbagai aktiviti serta program yang nyata memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat.

Abdul Aziz menyatakan bahawa pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang tahun terutamanya yang melibatkan pemberian bantuan dalam bentuk barangan asas harian kepada keluarga berpendapatan rendah (B40).

“Boleh dikatakan setiap minggu kami akan adakan program untuk kepentingan komuniti setempat seperti food bank dan tuisyen percuma yang dikhaskan untuk keluarga B40 di kawasan Air Itam.

“Program food bank dianjurkan pada hari Rabu setiap minggu yang mana penduduk di sini akan datang ke Dewan MPKK untuk mendapatkan barangan keperluan asas yang mereka perlukan seperti sayur-sayuran, beras, gula dan sebagainya.

“Bukan sahaja kebajikan, kita juga amat menitikberatkan aspek kesihatan dan keselamatan peniaga terutamanya yang berniaga di pasar-pasar pagi serta pasar malam.

“Di bawah MKPP Kampung Melayu terdapat empat buah pasar pagi, dan adalah menjadi tanggungjawab MPKK untuk memantau aspek keselamatan bagi memastikan para peniaga tidak berdepan sebarang masalah,” katanya.

Antara program yang dianjurkan demi manfaat komuniti.

Selain aktiviti mingguan, MPKK Kampung Melayu turut menganjurkan program kebajikan secara bulanan berbentuk pemberian bantuan barangan keperluan kepada kira-kira 30 keluarga yang memerlukan.

“Bantuan ini biasanya kita peroleh daripada sumbangan pelbagai pihak termasuk individu, NGO, agensi kerajaan dan lain-lain selain sumbangan daripada ahli MPKK sendiri.

“Pada bulan Ramadan dan musim perayaan, bantuan akan ditingkatkan mungkin melebihi 30 keluarga mengikut keperluan yang mana semua penerima adalah daripada keluarga B40 dari kawasan Kampung Melayu.

“Program ini adalah selaras dengan misi kitauntuk menjadikan Kampung Melayu sebagai kampung berkebajikan,” jelasnya sambil menyatakan bahawa Kampung Melayu terdiri daripada kira-kira 8,000 penduduk.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz memberitahu bahawa pihaknya turut aktif dalam aktiviti kesukanan yang diyakini mampu menjadi platform untuk merapatkan hubungan antara masyarakat selain menggalakkan gaya hidup sihat.

“Kami juga sering mengadakan aktiviti kesukanan seperti menganjurkan pertandingan sepak takraw, badminton, bola sepak, malah kami turut menyediakan gimnasium mini untuk membolehkan atlet gusti lengan menjalani latihan.

“Terbaharu, kami menubuhkan akademi sepak takraw untuk mencari bakat baru dalam sukan ini yang melibatkan kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 12 tahun.

“Sasaran kami adalahpelajar sekolah rendah, oleh itu kami akan masuk ke sekolah-sekolah di kawasan Air Itam untuk mencari bakat-bakat baru bagi menyertai akademi secara percuma.

“Semua yuran dan kos bagi keperluan sukan termasuk elaun jurulatih adalah ditanggung sepenuhnya oleh pihak MPKK,” ulasnya.

Impak kepada komuniti

Abdul Aziz yang merupakan anak jati Kampung Melayu berkata bahawa pelbagai program yang dijalankan oleh pihak MPKK dilihat memberi impak positif kepada masyarakat terutama dari segi peningkatan taraf hidup dan keselamatan penduduk.

“Sebagai contoh, kawasan Kampung Melayu ini dahulunya merupakan ‘hotspot’ bagi penagihan dadah.

“Namun, selepas kita kerap menjalankan pelbagai aktiviti bersama dengan pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang dan (pihak) polis, akhirnya kita berjaya mengurangkan masalah ini,” jelasnya.

Bersama ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang (berbaju hitam) ketika mengadakan salah satu aktiviti di Kampung Melayu.

Tambah beliau, program yang dijalankan turut memberi kesan positif terhadap peningkatan pendapatan penduduk dan secara tidak langsung telah mengurangkan kadar kemiskinan dalam komuniti.

“Selain itu, kita juga melihat berlaku peningkatan positif dari segi prestasi dalam kalangan pelajar di sekolah kebangsaan dan Kelas Al- Quran dan Fardu Ain (KAFA) selain nilai-nilai kekeluargaan dan keharmonian dalam komuniti juga semakin baik,” katanya.

Perancangan dan harapan

Ditanya mengenai perancangan masa depan pula, Setiausaha MPKK Kampung Melayu, YAAKOB RAMLI berkata bahawa geran yang diperoleh daripada kemenangan tersebut akan digunakan bagi memulakan kelas komputer untuk pelajar- pelajar di kawasan terbabit.

“Semasa pandemic COVID-19, kita saksikan banyak sekolah ditutup dan para pelajar terpaksa mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Yaakob Ramli.

“Susulan itu, kita dapati ramai anak-anak dalam kalangan keluarga B40 tidak dapat mengikuti pembelajaran dengan sempurna kerana kekurangan sumber kewangan untuk membeli telefon pintar dan peranti yang diperlukan.

“Ada juga pelajar yang mempunyai telefon pintar tetapi tidak mempunyai akses kepada internet.

“Jadi kita merasakan bahawa kawasan ini (Kampung Melayu) memerlukan kedua-dua kemudahan ini kerana sekiranya berlaku keadaan sama pada masa akan datang, kita sudah ada kelengkapan untuk anak-anak ini belajar secara dalam talian,” ujarnya.

Selain pelajar, Yaakob menyatakan bahawa pihaknya juga akan membuka kelas komputer kepada warga emas sebagai salah satu usaha untukmemberikan pendedahan penggunaan komputer serta internet kepada golongan itu.

Kata beliau, pihak MPKK Kampung Melayu juga sedang memohon untuk mewujudkan sebuah gelanggang futsal di kawasan tersebut demi memenuhi keperluan komuniti di bawah projek satu KADUN, satu gelanggang futsal.

Menyentuh mengenai harapan, Yaakob berharap agar komuniti di kawasan Kampung Melayu dapat terus memberikan Kerjasama kepada pihak MPKK bagi memastikan pelbagai aktiviti yang dijalankan menjadi lancer dan teratur.

Geran dan trofi kemenangan yang diterima.

“Ini kerana tidak ada gunanya kami menjalankan pelbagai aktiviti sekiranya tidak mendapat sambutan daripada komuniti setempat.

“Di kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada ADUN Air Itam, YB Joseph Ng Soon Siang dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor kerana sentiasa memberikan sokongan padu kepada kami.

“Tanpa sokongan daripada YB terutamanya bantuan serta kewangan, sukar untuk kami menjalankan aktiviti seperti hari ini.

“Tidak lupa juga kepada ahli majlis, penghulu Kampung Melayu, badan- badan kebajikan, NGO dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat kerana banyak membantu kami.

“Diharapkan hubungan baik ini akan terus terjalin demi memastikan keamanan serta keharmonian komuniti di Kampung Melayu teru terpelihara,” katanya mengakhiri bicara.

Difahamkan, selain dinobatkan MPKK terbaik peringkat negeri, MPKK Kampung Melayu sebelum ini pernah meraih beberapa kejayaan lain seperti MPKK Terbaik Air Itam 2019; naib johan MPKK Terbaik Peringkat Negeri Pulau Pinang 2019/2022; johan MPKK Peringkat Daerah Timur Laut Tahun 2020 dan 2022 serta juara Komuniti Zon Hijau COVID-19 MPKK Peringkat Negeri Pulau Pinang 2021.